Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 3 September. - Dalam usaha berterusan bagi membanteras pesalah-pesalah imigresen yang berada di Negara Brunei Darussalam (NBD), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) melalui Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang, Bandar Seri Begawan (BSB) dan Cawangan Kuala Belait telah melaksanakan empat operasi penguatkuasaan undang-undang di bawah Operasi Kakas 2026.
Operasi Kakas 90/2026 telah menyasarkan kawasan sekitar di Mukim Belait dan hasil daripada operasi tersebut, seorang warganegara asing yang diperiksa telah pun ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang bagi siasatan lanjut kerana dipercayai melakukan dua kesalahan, iaitu di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17, iaitu tidak bekerja dengan majikan asal dan di bawah Peraturan 15(3), Peraturan Imigresen, Penggal 17 kerana bekerja tidak mengikut jawatan yang tertera di dalam pasport.
Sementara Operasi Kakas 91/2026 pula menyasarkan rumah sewa di Mukim Keriam dan dua warganegara asing telah pun diperiksa yang kemudiannya ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang bagi siasatan lanjut. Seorang warganegara asing dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17, iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresen mansuh dan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17, iaitu tidak bekerja dengan majikan asal.
Manakala, seorang warganegara asing pula dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 55(1)(d), Akta Imigresen, Penggal 17 kerana memberikan perlindungan kepada pesalah imigresen.
Semasa Operasi Kakas 92/2026 yang menyasarkan rumah sewa di Mukim Berakas 'A', seramai 15 warganegara asing telah diperiksa yang kemudiannya ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang bagi siasatan lanjut.
Kesemua warganegara asing berkenaan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17, iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresen mansuh dan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17, iaitu tidak bekerja dengan majikan asal.
Manakala Operasi Kakas 93/2026 pula menyasarkan kawasan sekitar di Mukim Belait dan pemeriksaan telah dijalankan ke atas 18 warganegara asing dan kesemua individu yang diperiksa didapati mempunyai dokumen perjalanan dan pas imigresen yang sah.
Bagi sebarang maklumat kesalahan di bawah JIPK, sila hubungi talian Hotline Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang di talian +673 8734888 atau +673 8753888 (Bandar Seri Begawan) atau +673 8984111 (Kuala Belait).