22 murid Darjah VI sertai Majlis Khatam Al-Quran

6 Sep 2026 - 5:47am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

Foto : Ihsan Sekolah Ugama Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Kampung Saba

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 5 September. - Seramai 15 murid Darjah VI, terdiri daripada lapan lelaki dan tujuh perempuan menyertai Majlis Khatam Al-Quran bagi Murid-murid Darjah VI Sekolah Ugama Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Kampung Saba bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Ketua Kampung Saba Darat 'B', Awang Haji Mayalin bin Haji Saat yang juga mengepalai  bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan acara. Selepas itu, majlis diikuti dengan bacaan bermula daripada Surah Ad-Duha hingga Surah An-Nas oleh para peserta khatam.

Bacaan Takhtim kemudiannya dipersembahkan oleh gabungan murid Darjah IV dan V yang diketuai oleh salah seorang tenaga pengajar, Dayang Hajah Martini binti Haji Mohd. Salleh, diikuti bacaan Doa Khatam oleh Awang  Amizuddin bin Hasri.

Majlis turut diserikan dengan  Dikir Marhaban yang disembahkan daripada gabungan murid Darjah IV dan V diketuai oleh Awang Rezal bin Haji Othman.

Acara kemudiannya diteruskan dengan menabur bunga rampai serta penyampaian sijil kepada 22 murid yang menyertai khatam, yang disempurnakan oleh tetamu khas majlis, diikuti para pegawai, ibu bapa atau penjaga peserta dan guru-guru.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Imam Balai Ibadat Kampung Saba, Awang Mohd. Sahrin bin Haji Matnoor. Dalam pada itu, kejayaan para murid mengikuti majlis khatam tersebut adanya daripada usaha berterusan pihak sekolah dalam memupuk amalan membaca Al-Quran.

Sejak awal tahun, para murid telah dibimbing untuk membaca Al-Quran setiap hari sebelum sesi pembelajaran bermula, dengan sekurang-kurangnya dua muka surat bacaan yang dipantau oleh guru kelas masing-masing.

Pihak sekolah turut melaksanakan Program Anak Angkat khusus bagi murid Darjah VI, di mana setiap guru memantau perkembangan dua hingga tiga orang murid selain menyediakan buku catatan bacaan Al-Quran bagi merekod bacaan harian para murid.

Usaha tersebut mendapat sokongan padu daripada para guru yang sentiasa memberikan dorongan serta menyemai kesedaran dalam kalangan murid mengenai kelebihan dan manfaat membaca Al-Quran.

Majlis Khatam Al-Quran berkenaan diharap dapat menjadi wadah untuk menyemai kecintaan para murid terhadap Al-Quran, di samping membentuk amalan membaca dan menghayati Al-Quran secara berterusan dalam kehidupan seharian.