Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Daerah Tutong
TUTONG, Isnin, 7 September. – Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong (JDT) telah mengeluarkan denda kompaun ke atas dua buah syarikat kerana didapati melanggar Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian (Penggal 30).
Sambal Q Restoran dikenakan denda kompaun sebanyak BND2,000 (sekala besar) di bawah Bab 12(1) (c) kerana melakukan kesalahan berkenaan di kawasan Kampung Bukit Sibut, Tanjong Maya, Tutong.
Manakala Baiq YY Restoran dan Katering pula dikenakan denda kompaun sebanyak BND2,000 (sekala besar) di bawah Bab 12(1) (c) kerana melakukan kesalahan berkenaan di kawasan Kampung Layong Lamunin, Tutong.
Kedua-dua syarikat berkenaan dikehendaki untuk menjelaskan denda kompaun dalam tempoh tujuh hari.
Jika gagal membayar denda berkenaan dalam masa tujuh hari dari tarikh denda kompaun dikeluarkan maka syarikat berkenaan boleh dihadapkan ke mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada BND2,000 dan tidak melebihi BND10,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada BND10,000 dan tidak melebihi BND30,000 dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Unit Penguatkuasaan, JDT ingin mengingatkan orang ramai, pihak syarikat pemaju dan pemilik premis-premis perniagaan agar sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, khususnya di kawasan premis-premis perniagaan dan juga kawasan awam dengan tidak membuang, melonggokkan atau meninggalkan apa jua jenis sampah sarap di tempat awam.