14 peserta memperdengarkan bacaan Al-Quran

13 Sep 2026 - 6:17am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Azmah Haji Ahad

JERUDONG, Sabtu, 12 September. - Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1448 Hijrah / 2026 Masihi Peringkat Saringan berakhir hari ini dengan memperdengarkan lagi bacaan 14 peserta di Dar Al-Intishar, Kompleks Sukan Jerudong, pagi tadi.

Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan ini merupakan salah satu projek tahunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan (JBS) sejak tahun 1980an dan telah berjaya melahirkan banyak qari dan qariah belia yang berkaliber dan seterusnya mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Malahan, ia juga berperanan sebagai wadah kepada qari dan qariah belia di Negara Brunei Darussalam (NBD) untuk melihat keupayaan dan prestasi masing-masing khususnya dalam bidang pembacaan Al-Quran secara berlagu atau tarannum.

Sebelum pertandingan, para peserta juga mengikuti Bengkel Intensif Kemahiran Al-Quran (KIA) yang diadakan pada 29 dan 30 Ogos 2026 yang lalu.

Bengkel tersebut memfokuskan kepada pembelajaran dalam bidang tarannum Al-Quran yang bertujuan untuk mempersiapkan para qari dan qariah belia agar mampu bertanding pada tahap yang terbaik dan bermutu tinggi serta memberi penekanan kepada aspek-aspek penting dalam bidang tarannum Al-Quran, termasuk lagu, suara, fasahah dan tajwid.

Daripada jumlah keseluruhan peserta, seramai 30 peserta teratas dengan markah 80 peratus ke atas akan layak ke peringkat separuh akhir yang akan berlangsung pada hari Ahad, 20 September 2026 ini.

Manakala lima peserta qari dan lima peserta qariah termasuk Johan Menunggu Qari dan Qariah 2025 akan bertanding di peringkat akhir pada hari Khamis, 1 Oktober 2026 nanti.

Peserta musabaqah terdiri daripada belia berumur antara 15 hingga 30 tahun, warganegara atau penduduk tetap NBD dan tidak pernah menjadi johan mana-mana pertandingan seperti Majlis Tilawah Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa anjuran Kerajaan Malaysia atau Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara anjuran KKBS.

Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1448H/2026M Peringkat Saringan telah berlangsung selama empat hari bermula 9 September 2026, dengan memperdengarkan bacaan Al-Quran daripada 104 peserta terdiri daripada 65 peserta qari dan 39 peserta qariah.