Pengurangan dana jejas usaha pelupusan 80 juta bahan letupan tertanam di seluruh Laos

18 Sep 2026 - 9:33am

PHNOM PENH, 17 Sept. - Seorang pegawai kanan Laos memberi amaran bahawa dianggarkan 80 juta bahan letupan masih tertanam di seluruh negara itu dengan pengurangan dana antarabangsa melambatkan kerja-kerja pembersihan, sekali gus melanjutkan ancaman terhadap nyawa orang awam.

Pegawai Pihak Berkuasa Kawal Selia Kebangsaan bagi Tindakan UXO/Periuk Api Bounpheng Sisavath berkata hanya lebih sejuta sisa berbahaya itu telah dilupuskan selepas berdekad usaha dilakukan untuk membersihkan Laos daripada bahan letupan tidak meletup (UXO).

“Boleh dikatakan masih banyak lagi yang tertinggal. Sesetengah objek berada di permukaan manakala yang lain tertanam sedalam lima hingga enam meter di bawah tanah.

“Keadaan ini menyukarkan kerja pembersihan serta memerlukan pasukan terlatih dan kaedah khusus namun perubahan keadaan global dan serantau menjejaskan pembiayaan untuk kerja-kerja berkaitan UXO.

“Sesetengah negara telah mengurangkan atau menghentikan bantuan kerana mereka mengalihkan sumber kepada keutamaan baharu mereka sendiri,” kata Bounpheng kepada akhbar Vientiane Times dalam satu temu bual.

Selama lebih lima dekad, negara yang tidak mempunyai akses laut dan sangat bergantung pada sektor pertanian serta pelancongan itu telah bergelut dengan kesan peninggalan UXO dan periuk api.

Kira-kira 580,000 misi pengeboman dijalankan di Laos antara 1964 hingga 1973, dengan lebih dua juta tan bahan letupan digugurkan semasa Perang Indochina.

Kira-kira 270 juta bom kluster, yang lebih dikenali sebagai "bombies", telah digugurkan, dengan anggaran 30 peratus daripadanya gagal meletup, katanya.

Bahan letupan yang tidak meletup itu masih bertaburan di seluruh negara, menimbulkan ancaman membawa maut kepada penduduk serta menghalang pembangunan luar bandar, sementara petani dan kanak-kanak terus terdedah pada risiko bahaya.

Menurut Pihak Berkuasa Kawal Selia Kebangsaan, dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, pasukan pembersihan telah meneutralkan lebih 49,000 butir UXO.

Pada Mac, pakar pembersihan periuk api menemukan sembilan bom udara di sepanjang Sungai Sekong di Wilayah Sekong, tenggara Laos. Bom-bom tersebut kemudiannya dimusnahkan dengan letupan terkawal.

“Kebanyakan kemalangan berlaku apabila orang ramai membakar tanah, menggali tanah, membersihkan kawasan atau mengendalikan bahan letupan yang tidak meletup itu. Kanak-kanak khususnya berdepan risiko apabila mereka menemui bom kluster lalu bermain dengannya atau cuba meleraikannya," kata Bounpheng.

Laos menjadi tuan rumah Persidangan Semakan Ketiga Konvensyen mengenai Bom Kluster di Vientiane dari 14 hingga 18 Sept, bagi mengetengahkan ancaman yang ditimbulkan oleh bom kluster serta usaha penghapusannya. - ©BERNAMA