ZAGREB, 22 Ogos. - Dua individu disahkan maut selepas sebuah pesawat ultraringan terhempas di Gunung Velebit di kawasan pesisir Croatia pada Jumaat, menurut polis, lapor Xinhua.
Pesawat yang didaftarkan sebagai D-KWZE itu dalam penerbangan dari Republik Czech menuju ke bandar pesisir Zadar, Croatia apabila Croatia Control, penyedia perkhidmatan navigasi udara negara itu, terputus isyarat radar pesawat berkenaan kira-kira 4.14 petang waktu tempatan (1414 GMT).
Isyarat itu hilang di timur laut Zadar, menyebabkan operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran dilancarkan.
Pasukan yang terdiri daripada polis, anggota bomba dan penyelamat gunung menggunakan dron untuk menjalankan pencarian di kawasan berbukit-bukau di Paklenica.
Walaupun operasi pada awalnya tertangguh akibat cuaca buruk, pasukan berkenaan menemukan bangkai pesawat serta dua mayat kira-kira 10 malam waktu tempatan (2000 GMT).
Polis tempatan telah mengawal lokasi nahas. Siasatan rasmi di lokasi bagi mengenal pasti semua keadaan dan fakta berkaitan nahas itu dijadual bermula pada pagi Sabtu, menurut polis. - ©BERNAMA