Delegasi Persekutuan Permotoran Bahrain lawat Litar Antarabangsa Sepang

22 Og 2026 - 11:17am

SEPANG, 22 Ogos. - Delegasi ketiga Persekutuan Permotoran Bahrain (BMF) mengadakan lawatan ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai sebahagian daripada persiapan berterusan bagi Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain yang dijadual berlangsung di litar itu dari 2 hingga 4 Oktober, lapor Agensi Berita Bahrain (BNA) pada Jumaat.

Lawatan yang bertepatan dengan penganjuran pusingan keempat Kejohanan Kereta Touring Malaysia di litar berkenaan itu merupakan sebahagian daripada persiapan BMF dengan penyelarasan dan kerjasama Litar Antarabangsa Bahrain (BIC), Hab Sukan Permotoran di Asia Barat, bagi perlumbaan Formula 1 akan datang.

Lawatan itu merupakan sebahagian daripada program lawatan lapangan berterusan delegasi BMF bagi meninjau prosedur, persiapan dan operasi penganjuran di SIC serta memanfaatkan pengalaman dan keupayaannya dalam menjadi tuan rumah dan menganjurkan acara serta kejohanan sukan permotoran.

Delegasi itu diberi taklimat mengenai pengurusan dan penganjuran acara, penyelarasan antara pelbagai pasukan serta aspek operasi, teknikal dan logistik dalam penganjuran perlumbaan.

Lawatan itu turut memberi peluang untuk bertukar kepakaran dan pengalaman dengan pegawai serta kakitangan SIC selain meninjau amalan terbaik dalam pengurusan dan penganjuran perlumbaan, sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan pasukan serta membolehkannya memanfaatkan pengalaman antarabangsa dalam persiapan bagi acara akan datang.

Usaha itu selaras dengan arahan Presiden BMF merangkap Naib Presiden FIA bagi Sukan (Asia Barat dan Afrika Utara) Shaikh Abdulla bin Isa Al Khalifa. Ia mencerminkan komitmen beliau untuk meningkatkan kerjasama dengan organisasi sukan permotoran serta menyediakan keadaan yang diperlukan bagi memastikan kejayaan perlumbaan Formula 1 akan datang.

BMF dengan penyelarasan dan kerjasama BIC terus melaksanakan pelan serta program persiapannya bagi perlumbaan itu dengan memanfaatkan kepakaran penganjuran profesional Bahrain, selain memperkukuh kehadiran Bahrain dalam sukan permotoran antarabangsa.

Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain di SIC dijangka menjadi platform penting bagi kerjasama dan pertukaran kepakaran dalam sukan permotoran. Ia turut menunjukkan keupayaan profesional Bahrain untuk menyumbang kepada penganjuran dan pengurusan perlumbaan permotoran antarabangsa utama, sama ada di Bahrain mahupun di luar negara. - ©BERNAMA