MANNHEIM (Jerman), 22 Ogos. - Seramai 35 anggota polis cedera dan beberapa penyokong bola sepak ditahan selepas keganasan tercetus pada perlawanan Piala Jerman antara Waldhof Mannheim dan Kaiserslautern pada Jumaat, menurut polis, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Seramai 85 individu memerlukan rawatan perubatan dengan lapan daripada mereka dibawa ke hospital. Kecederaan yang dialami dipercayai ringan, menurut jurucakap polis.
Kira-kira 23,500 penonton menyaksikan perlawanan yang berlangsung dengan tiket habis dijual di Stadium Carl-Benz, Mannheim pada Jumaat malam, termasuk kira-kira 3,500 penyokong pasukan pelawat.
Suasana tegang sepanjang perlawanan dengan bahan piroteknik berulang kali dinyalakan di tempat duduk penonton.
Keadaan bertambah tegang selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selepas 90 minit.
Susulan konfrontasi antara pemain di atas padang, beberapa penyokong Kaiserslautern melepaskan bunga api ke arah kawasan tempat duduk penonton, menyebabkan penyokong Mannheim menyerbu masuk ke padang.
Polis campur tangan bagi mengawal keadaan.
Menurut polis, 35 anggota mengalami kecederaan ringan. Kira-kira 1,400 anggota keselamatan dikerahkan bagi perlawanan itu.
Perlawanan itu hampir terpaksa dihentikan dan permulaan masa tambahan ditangguhkan, namun keadaan kembali tenang selepas permainan disambung semula.
Anggota bomba kemudian memadamkan kebakaran yang dicetuskan penyokong di bahagian tempat duduk penyokong pasukan pelawat.
Polis sedang menyiasat beberapa kesalahan yang disyaki termasuk serangan, kerosakan harta benda, mengganggu ketenteraman awam, serangan terhadap anggota polis serta pelanggaran undang - undang bahan letupan. - ©BERNAMA