Oleh : Muhammad Khairulanwar Ali Rahman
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Nurhafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Kementerian Pembangunan pada dasarnya mengamalkan pendekatan perancangan bangunan yang berasaskan data iaitu Data Driven Planning bagi memastikan pembangunan bandar dan desa dilaksanakan secara mampan, berdaya tahan dan memenuhi keperluan semasa serta keperluan masa akan datang.
Bagi penyediaan pelan-pelan perancangan pembangunan di peringkat Pelan Induk Guna Tanah dan Pelan Daerah, Kementerian Pembangunan telah melaksanakan kira-kira 19 kajian sektoral yang merangkumi aspek ekonomi, demografi, perumahan, guna tanah, pengangkutan, sumber air saliran pembetungan, utiliti, telekomunikasi dan alam sekitar.
Kajian-kajian ini menjadi asas kepada perancangan guna tanah yang lebih bersepadu dengan mengambil kira kapasiti infrastruktur utiliti yang sedia ada, potensi pembangunan serta risiko-risiko yang dikenal pasti.
Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid mengongsikan perkara tersebut bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin mengenai pendekatan strategik kementerian untuk memastikan pembangunan bandar dan desa dipandu oleh data serta penilaian dan risk mapping, dengan mengintegrasikan guna tanah, utiliti, infrastruktur sedia ada serta keperluan masa hadapan, di samping memastikan hala tuju perancangan yang jelas dan telus dengan mengambil kira kesan ketidaktentuan iklim.
Sejajar dengan penyediaan pelan baharu bagi tempoh 20 tahun yang akan datang, jelas Yang Berhormat Menteri Pembangunan menyatakan, semua kajian ini sedang dan terus dikemas kini dalam memberi penekanan yang lebih menyeluruh terhadap ketidaktentuan iklim, penilaian risiko-risiko dan daya tahan infrastruktur yang ada.
Di peringkat kawalan kemajuan pula, jelas Yang Berhormat, setiap cadangan pembangunan dinilai secara bersepadu bersama agensi-agensi teknikal, mengambil kira kesesuaian guna tanah, kapasiti jalan raya, utiliti dan infrastruktur yang sedia ada, sistem saliran, kawasan hijau serta risiko alam sekitar.
Pendekatan ini memastikan pembangunan yang diluluskan bukan sahaja memenuhi keperluan teknikal malah selaras dengan hala tuju perancangan negara dan tidak melebihi kapasiti infrastruktur yang sedia ada.
Sebagai sebahagian langkah penyesuaian terhadap perubahan iklim, Yang Berhormat seterusnya menambah, kementerian juga menaik taraf reka bentuk sistem saliran di kawasan-kawasan strategik daripada 1 dalam 50 tahun strong return period kepada 1 dalam 100 tahun strong return period. Ini adalah bagi meningkatkan ketahanan infrastruktur terhadap jangkaan intensiti hujan yang dijangka akan semakin naik dan tinggi bagi mengurangkan risiko banjir di masa depan.
"Di samping itu, kementerian turut mengikuti perkembangan amalan terbaik di peringkat serantau dan antarabangsa melalui penyertaan dalam berbagai platform kerjasama teknikal dan mesyuarat sebagai platform perkongsian amalan terbaik termasuk pengetahuan mengenai inovasi terbaharu, teknologi dalam perancangan bandar, pengurusan risiko serta adaptasi perubahan iklim yang boleh diterapkan mengikut kesesuaian," tambah Yang Berhormat pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.