Penguasaan pelajar dipertingkat melalui pembelajaran interaktif

25 Nov 2026 - 12:30am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

TUTONG, Selasa, 24 November. – Ke arah menyokong Matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) terus mempergiat pelbagai usaha bagi membudayakan kecemerlangan akademik serta mengembangkan potensi pelajar secara menyeluruh.

Sehubungan itu, sebagai salah satu inisiatif persediaan awal bagi membantu pelajar menghadapi peperiksaan Brunei-Cambridge GCE ‘O’ Level Tahun 2027, Ma’had Islam Brunei telah mengungkayahkan Program Ilal Majdi Wal ‘Ula (Ke Arah Ketinggian dan Kemuliaan) bertemakan ‘Arena Quest : Train For Excellence’ (Pre ‘O’ Level Challenge) yang diadakan pada pagi tadi di dewan besar sekolah berkenaan.

Program tersebut melibatkan seramai 36 pelajar Sanah 9 Fast Track dan Sanah 10 Normal Track daripada tiga buah sekolah Arab, iaitu Ma’had Islam Brunei, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Hadir selaku tetamu khas, Ketua Bahagian Sekolah Umum (Pendidikan Islam), JPI, KHEU, Dayang Ernalisa @ Hanisah ‘Aqilah binti Haji Syaheed.

Berbeza daripada pendekatan pembelajaran tradisional, Arena Quest mengetengahkan cabaran berbentuk aktiviti fizikal berstesen yang menggabungkan tugasan akademik dan penyelesaian masalah.

Para peserta dicabar untuk menyempurnakan tugasan di enam stesen yang merangkumi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Geografi dan Sejarah.

Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa, diikuti ucapan alu-aluan oleh Pengetua Ma’had Islam Brunei, Dayang Sarimah binti Haji Ahmad.

Acara diteruskan dengan sesi senamrobik sebelum cabaran Arena Quest dimulakan. Acara diakhiri dengan pengumuman keputusan dan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Program Ilal Majdi Wal ‘Ula bertujuan untuk meningkatkan penguasaan pelajar terhadap isi pelajaran serta mempelbagaikan kaedah pembelajaran melalui pendekatan yang lebih interaktif dan menyeronokkan.

Selain menggalakkan pelajar berfikir secara kritis, kreatif dan spontan, program tersebut turut memupuk semangat kerjasama serta persaingan sihat dalam kalangan pelajar, di samping memperkukuh keyakinan diri dan kemahiran menyelesaikan masalah.