Kesedaran kebersihan persekitaran tanggungjawab bersama

26 Okt 2026 - 7:03am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

TEMBURONG, Ahad, 25 Oktober. - Kementerian Pendidikan pada hari ini telah mengendalikan Kempen Kebersihan di sebahagian jalan raya dan kawasan di Kampung Menengah, Kampung Puni dan Kampung Buda-Buda, Pekan Bangar.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyertai kempen berkenaan, Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Acara dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang diketuai oleh Bilal Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Awang Haji Muhammad Fairuz bin Haji Suhaile, diikuti dengan penerangan keselamatan sebelum memulakan Kempen Kebersihan.

Usaha pembersihan tertumpu kepada beberapa jalan raya yang dibahagikan kepada dua zon, merangkumi sebahagian Jalan Pekan Bangar, bermula dari Balai Bomba Bangar hingga ke simpang menuju ke rumah Ketua Kampung Menengah serta di sebahagian Jalan Labu bermula dari Masjid Kampung Puni hingga ke persimpangan menuju ke tempat penurunan perahu di Kampung Buda-Buda.

Kempen yang disertai oleh kira-kira 340 warga Kementerian Pendidikan, 60 penduduk mukim dan kampung setempat serta 38 orang dari Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) telah berjaya mengumpul lebih daripada 495 kilogram sampah-sarap.

Kempen Kebersihan berkenaan merupakan salah satu usaha Kementerian Pendidikan dalam menyokong inisiatif Jawatankuasa Induk Isu-Isu Kebersihan (JIIK) ke arah memastikan persekitaran di Negara Brunei Darussalam (NBD) sentiasa bersih dan bebas daripada pencemaran.

Pelaksanaan kempen di peringkat Kementerian Pendidikan yang diselaraskan oleh Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan - Perkhidmatan berkenaan turut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk kampung dan orang awam mengenai kepentingan memelihara kebersihan persekitaran.

Turut hadir pada acara berkenaan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, juga Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan; Ketua Kampung Menengah, Kampung Puni dan Kampung Belais / Buda-Buda; pegawai-pegawai dari Urus Setia Jawatankuasa Induk Isu-Isu Kebersihan, pegawai-pegawai dan kakitangan dari Kementerian Pendidikan serta penduduk-penduduk bagi kampung-kampung yang terlibat.