Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji SulaimanFoto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
TUNGKU LINK, Ahad, 25 Oktober. - Ke arah usaha meningkatkan dan memperkukuh pemahaman masyarakat mengenai demensia, khususnya kepentingan pengesanan tanda-tanda awal dan mendapatkan diagnosis pada peringkat awal, demensia Brunei (dB) hari ini menganjurkan Simposium Demensia Kebangsaan Brunei Ke-2, 2026.
Simposium yang berlangsung di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) itu diadakan sempena Bulan Demensia Sedunia 2026 dengan membawa tema 'Lebih Awal Anda Mengetahui, Lebih Banyak Yang Boleh Dilakukan : Diagnosis Demensia Adalah Penting'.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Dekan PAPRSB IHS, Profesor Kenneth Kok Yuh Yen.
Simposium berkenaan menghimpunkan lebih 100 peserta yang terdiri daripada para profesional kesihatan, pegawai kerajaan, pelajar, orang awam serta penjaga yang menjaga individu yang hidup dengan demensia.
Presiden dB, Dr. Dayang Norhayati binti Mohd. Kassim dalam ucapan pembukaannya menekankan bahawa diagnosis awal membolehkan individu yang mengalami masalah ingatan dikenal pasti puncanya, termasuk keadaan lain yang boleh dirawat, di samping membolehkan rawatan dan sokongan diberikan lebih awal.
Beliau turut menjelaskan bahawa diagnosis awal memberi peluang kepada individu yang hidup dengan demensia untuk terlibat dalam membuat keputusan berkaitan penjagaan diri, kewangan dan hasrat mereka selagi masih berupaya menyuarakan pilihan sendiri.
Menurut beliau, diagnosis juga membantu keluarga memahami perubahan tingkah laku dan keperluan individu yang dijaga, sekali gus membolehkan mereka memberikan sokongan yang lebih bersesuaian.
Bagi profesional kesihatan pula, pemahaman mengenai tanda-tanda demensia, keupayaan mengemukakan soalan yang tepat dan pengetahuan mengenai saluran rujukan yang bersesuaian amat penting dalam memastikan individu yang memerlukan bantuan mendapat penilaian sewajarnya.
Dr. Dayang Norhayati turut menekankan bahawa ketakutan terhadap stigma dan tanggapan negatif boleh menyebabkan sesetengah individu atau keluarga menangguhkan usaha mendapatkan diagnosis.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar menggantikan ketakutan dan stigma dengan pengetahuan serta sikap belas ihsan, sambil menegaskan bahawa diagnosis bukanlah pengakhiran kehidupan seseorang, sebaliknya permulaan kepada pemahaman dan penjagaan yang lebih terarah.
Simposium berkenaan juga mendengarkan penyampaian ucaptama oleh Pengarah dan Pakar Perunding Kanan Brunei Neuroscience Stroke and Rehabilitation Centre (BNSRC), Dr. Pengiran Nur'ashikin binti Pengiran Dato Paduka Haji Tengah.
Antara pengisian utama simposium ialah forum bertajuk 'Perjalanan Menuju Diagnosis : Perbincangan antara Pegawai Perubatan dan Penjaga mengenai Realiti Diagnosis Demensia' (The Road to Diagnosis: A Conversation Between Clinicians and Carers on the Realities of Diagnosing Dementia).
Ahli panel forum terdiri daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee, juga sebagai penjaga dan pejuang advokasi; Pakar Perunding Geriatrik, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Dr. Tan Chia Wei dan Pengarah dan Pakar Perunding Kanan BNSRC, Dr. Pengiran Nur'ashikin.
Forum dikendalikan oleh Pensyarah, PAPRSB HIS, UBD dan juga Komitee dB, Dr. Deeni Rudita Idris selaku moderator.
Simposium ini bertujuan memberikan pemahaman yang lebih mendalam kepada para peserta mengenai demensia, bermula daripada mengenal pasti gejala awal dan memahami proses diagnosis, hinggalah kepada pengurusan penjagaan serta cabaran yang dihadapi oleh individu yang hidup dengan demensia dan keluarga mereka. Ia turut menyediakan ruang untuk perkongsian pengetahuan dan perbincangan antara para profesional, penjaga dan masyarakat umum.
Melalui sesi ceramah dan forum, para peserta berpeluang mendapatkan ilmu daripada para penceramah yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman berkaitan demensia.
Program ini menekankan bahawa penjagaan demensia bukan sekadar mendapatkan diagnosis, malah turut melibatkan sokongan berterusan, perancangan penjagaan yang bersesuaian, penghormatan terhadap hak individu serta pemeliharaan maruah dan kualiti hidup individu yang hidup dengan demensia.
Selain program utama, simposium ini turut menampilkan bengkel praktikal yang direka untuk membekalkan para peserta dengan pengetahuan dan kemahiran berguna yang boleh diaplikasikan dalam penjagaan dan sokongan kepada individu yang hidup dengan demensia.
Sesi-sesi ini bertujuan memperkasa para penjaga, ahli keluarga dan anggota masyarakat agar dapat memberikan respons dengan lebih yakin dan penuh empati terhadap keperluan individu yang terjejas oleh demensia.
Sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan, dB memperjuangkan hak dan kualiti hidup individu yang hidup dengan demensia. Sejak ditubuhkan pada Mac 2018, organisasi ini giat melaksanakan aktiviti kesedaran, inisiatif pendidikan dan program penglibatan masyarakat bagi meningkatkan pemahaman mengenai demensia serta memperbaiki standard penjagaan.
Penganjuran simposium berkenaan mencerminkan komitmen berterusan dB dalam membina sebuah masyarakat mesra demensia di Negara Brunei Darussalam, di mana individu yang hidup dengan demensia difahami, dihormati dan disokong, serta keluarga dan penjaga mempunyai akses kepada pengetahuan dan sumber yang diperlukan.
Melalui inisiatif ini, dB berharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat, menggalakkan pengenalpastian demensia pada peringkat lebih awal serta memperkukuh kerjasama antara para profesional kesihatan, keluarga, penjaga, organisasi yang berkaitan dan masyarakat secara keseluruhannya.