Ilmu nikmat daripada Allah, membawa tanggungjawab kepada manusia

26 Okt 2026 - 7:22am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 25 Oktober. - Ilmu merupakan nikmat besar daripada Allah Subhanahu Wata'ala yang mengangkat darjat manusia dan pada masa yang sama membawa tanggungjawab.

Ilmu bukan sekadar untuk diketahui atau dibanggakan tetapi hendaklah diamalkan, dimanfaatkan dan disampaikan dengan penuh amanah.

Dalam era teknologi digital dan Kecerdasan Buatan (AI), akses kepada maklumat menjadi semakin mudah dan pantas, namun kemudahan berkenaan tidak menggugurkan kewajipan untuk menyemak kebenaran, melakukan tabayyun dan merujuk kepada ahli ilmu.

Demikian antara inti pati tazkirah bertajuk 'Ilmu dan Amanah' yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, Penolong Pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Awang Hilman bin Haji Salim, yang juga graduan Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama (Kajian Ahli Sunnah Waljamaah), KUPU SB, bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Kali Ke-252 sempena Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-16 pada malam tadi yang bersiaran dari Surau Utama KUPU SB.

Menurutnya lagi, tidak semua maklumat yang diterima perlu terus dipercayai atau disebarkan tanpa semakan. Walaupun teknologi mengubah cara manusia memperoleh ilmu, tanggungjawab terhadap kebenaran, adab, ketepatan dan manfaat ilmu tetap berada pada manusia.

Kesimpulannya, Dr. Awang Hilman mengongsikan bahawa ilmu adalah nikmat, nikmat melahirkan amanah, dan amanah menuntut tanggungjawab.

Acara Malam Munajat berkenaan disemarakkan oleh tenaga akademik dan para graduan KUPU SB yang bersiaran dari Surau Utama KUPU SB sebagai tumpuan utama. Juga menyertai, para jemaah daripada beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja KHEU dan juga individu yang turut serta secara maya dari kediaman masing-masing.

Atur cara Malam Munajat dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Ra'es KUPU SB, Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad, yang juga bersiaran dari Surau Utama KUPU SB.

Diikuti dengan bacaan Surah Al-Waqiah beramai-ramai dipimpin oleh Awang Muhammad Syukri Mubasyir bin Haji Mohamad Sufri, graduan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama (Pendidikan Islam), KUPU SB.

Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Awang Mohamed Khairie bin Mohamed Shalahudeen, graduan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama (Pendidikan Islam), KUPU SB.

Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Memohon Dikurniakan Hujan Sebab Dilanda Jerebu oleh Ketua Eksekutif Keugamaan dan Kerohanian, Majlis Perwakilan Pelajar 2026-2027, KUPU SB, Awang Muhammad Nabil Mukhlish bin Amerul Shah.

Sejurus selesai tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Dipertua Pelajar, Majlis Perwakilan Pelajar 2026-2027, KUPU SB, Awang Muhammad Nur Razin bin Rosli.

Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Awang Muhammad Syafiq bin Haji Abu Bakar, graduan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Islam) dengan Minor Bimbingan dan Kaunseling, KUPU SB.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.

Semoga segala amalan kerohanian dan Doa Munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan http://tiny.cc/munajatkheu.