Air kemerah-merahan masih dikesan di perairan pantai NBD

26 Okt 2026 - 6:50am

Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Perikanan

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 25 Oktober. - Susulan daripada kenyataan media yang dikeluarkan pada 11 Jamadilawal 1448 Hijrah bersamaan 22 Oktober 2026 Masihi, Jabatan Perikanan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), Negara Brunei Darussalam (NBD), terus mempergiat usaha pemantauan terhadap keadaan air kemerah- merahan di perairan NBD.

Usaha ini dilaksanakan secara berterusan dengan kerjasama agensi-agensi berkepentingan iaitu Polis Marin, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Markas Angkatan Bersama (MAB), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta berpandukan hasil analisis makmal yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan.

Hasil daripada pemantauan dan laporan analisis makmal terkini yang telah dijalankan pada 24 Oktober 2026, telah mendapati bahawa organisma penyebab air kemerah-merahan iaitu Pyrodinium Bahamense masih dikesan di perairan pesisir pantai Daerah Belait, Daerah Tutong dan Daerah Brunei dan Muara.

Di samping itu, perkembangan pemantauan terkini turut mendapati peningkatan kandungan sel organisma penyebab air kemerah-merahan terutama di perairan Teluk Brunei termasuk kawasan Tugu, Ujong Sapoh dan Pulau Kaingaran.

Memandangkan kejadian air kemerah-merahan telah melanda kawasan perairan di persisiran pantai dan Teluk Brunei, Jabatan Perikanan sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi nasihat dan arahan keselamatan yang telah dikeluarkan, serta tidak mengambil atau memakan ikan-ikan kecil seperti aur-aur, tamban, basong-basong, pusu dan kuasi serta bubuk dan semua jenis kerang-kerangan dan juga sebarang ikan yang dijumpai mati, terutamanya dari kawasan perairan NBD yang terjejas.

Ikan-ikan berkenaan berisiko dicemari toksin yang dihasilkan oleh organisma penyebab air kemerah-merahan, di mana pendedahan kepada toksin ini boleh menyebabkan keracunan manusia dengan gejala seperti cirit birit, muntah-muntah, kebas dan kelumpuhan otot serta dalam kes yang serius, boleh menyebabkan kematian.

Jabatan Perikanan juga memberikan amaran tegas kepada para nelayan untuk tidak menjalankan operasi penangkapan ikan di kawasan perairan yang terjejas. Para nelayan juga diingatkan untuk tidak menangkap atau menjual ikan-ikan kecil dan semua jenis kerang-kerangan seperti yang dinyatakan.

Penjualan melalui platform atas talian termasuk media sosial, seperti di aplikasi TikTok dan Instagram, adalah juga tidak dibenarkan dan tindakan penguatkuasaan akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati masih menjual ikan-ikan berkenaan secara dalam talian.

Selain itu, orang ramai juga diingatkan supaya tidak membeli ikan-ikan kecil yang ditegah sama ada yang dijual di pasar, premis perniagaan atau melalui platform dalam talian termasuk media sosial.

Peringatan ini bertujuan untuk melindungi pengguna daripada risiko membeli dan memakan ikan yang mungkin tercemar akibat kejadian air kemerah-merahan. Di samping itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk mengelakkan penggunaan air laut dari kawasan terjejas serta tidak melakukan sebarang aktiviti air, termasuk mandi atau berenang, di kawasan pesisir pantai berkenaan.

Langkah berjaga-jaga ini adalah untuk mengelakkan pendedahan kepada air yang terjejas dan boleh menyebabkan ruam kulit. Memandangkan masih terdapat penjualan ikan-ikan kecil yang ditegah melalui media sosial, kerjasama orang ramai amat diharapkan untuk membantu membendung penjualan hasil perikanan yang berisiko tercemar.

Sekiranya mendapati sebarang penjualan ikan-ikan yang ditegah, orang ramai adalah digalakkan untuk melaporkan melalui talian +673 2770068 pada waktu bekerja, Talian Hotline +673 8984526 atau e-mel ‘enquiry@fisheries.gov.bn’.

Jabatan Perikanan akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi berkepentingan dalam memperkukuh pemantauan terhadap kejadian air kemerah-merahan serta memastikan maklumat rasmi dan perkembangan terkini disampaikan kepada orang ramai secara berterusan.

Sokongan dan kerjasama orang ramai dalam mematuhi nasihat yang dikeluarkan serta melaporkan sebarang kejadian amatlah penting bagi membantu usaha pemantauan dan memastikan kesihatan serta keselamatan awam sentiasa terpelihara.