Cinta Rasulullah terus disemai melalui dikir, penghayatan sunnah

25 Og 2026 - 8:07am

Berita : Nurdiyanah Rajami

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 24 Ogos. - Keindahan alunan selawat dan puji-pujian ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam terus bergema menerusi Majlis Bercorak Keagamaan sempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam 1448 Hijrah 2026 Masihi bagi malam ke-12 diteruskan malam ini di Surau Istana Nurul Iman, bersama pegawai dan kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

Juga hadir ialah Setiausaha Tetap KKBS, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Dr. Siti Norkhalbi Haji Wahsalfelah; dan Timbalan Setiausaha Tetap, KKBS, Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid.

Sejurus selesai menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Sayyidul Istighfar serta bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

Setelah itu, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Muhamad Abdul Haziq bin Hanafi dalam tazkirahnya yang bertajuk ‘Menyemai Cinta Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui Tiga Kunci Keberkatan Hidup’ antara lain menerangkan mengenai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak sekadar mengajar kita meminta ilmu. Baginda mengajar kita meminta ilmu yang bermanfaat.

Jelasnya, ini kerana tidak semua ilmu semestinya membawa seseorang dekat kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang membuatkan kita lebih mengenal Allah Subhanahu Wata’ala, lebih takut kepada Allah Subhanahu Wata’ala, lebih merendahkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan akhirnya mendorong kita untuk beramal.

“Perkara kedua yang Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam minta ialah rezeki yang baik. Perhatikan, Baginda tidak meminta ‘Ya Allah, berikan aku rezeki yang banyak’ tetapi Baginda meminta ‘Berikan aku rezeki yang baik’. Ini sangat penting kerana rezeki bukan sekadar tentang berapa banyak yang kita dapat, tetapi dari mana ia datang dan ke mana ia membawa kita,” tambahnya.

Awang Muhamad Abdul Haziq turut menjelaskan bahawa perkara ketiga yang diminta oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ialah amalan yang diterima. Ini mungkin bahagian yang paling membuatkan kita berfikir. Sebab kadang-kadang kita berasa, “Aku sudah banyak beramal”, tetapi persoalannya bukan semata-mata berapa banyak amalan kita. Persoalannya, adakah amalan kita diterima oleh Allah? Maknanya, jangan kita hanya mengejar banyaknya amalan. Kita perlu mengejar keikhlasan dan memastikan amalan kita dilakukan dengan cara yang benar.

Dalam pada itu, tazkirah turut menekankan apabila membaca kita doa, jangan sekadar membaca. namun kita perlu memikirkan tiga perkara iaitu “Ya Allah, berikan aku ilmu yang bermanfaat”, supaya apa yang kita belajar mengubah diri kita; “Ya Allah, berikan aku rezeki yang baik”, supaya apa yang kita makan, apa yang kita gunakan dan apa yang kita berikan kepada keluarga kita datang dari sumber yang halal; dan  “Ya Allah, terimalah amalanku”, kerana kita tidak tahu apakah amalan kita benar-benar diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

Seramai 85 peserta dari KKBS mempersembahkan Dikir Assalamualaika dan Asyrakal yang dialunkan dengan penuh semangat dan rasa kecintaan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Turut mengambil bahagian ialah seramai 60 peserta yang terdiri daripada ahli Majlis Belia Brunei; Ahli Majlis Perundingan Mukim (MPM) Lumapas; Ahli MPM Zon 1 Kampong Ayer dan MPM Zon 2 Kampong Ayer yang mempersembahkan Dikir Khairuman.

Selain itu, seramai 30 orang Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid dan Kumpulan Belia Masjid (KBM) Kampung Lumapas mendendangkan Dikir Bisyahrin, manakala Bahagian Sekolah Ugama (Brunei IV), Jabatan Pengajian Islam (JPI) dengan penyertaan 50 peserta mempersembahkan Dikir Alhamdu dan Badat.

Sementara di ruang lain bagi jemputan perempuan pula juga diserikan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, PDI, KHEU, Dayangku Nabilah Busyra binti Pengiran Abdul Razak yang antara lain menerangkan, kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bukan sekadar dilafazkan, tetapi perlu disemai dengan mengenali sirah Baginda, melafazkan selawat, memuji Baginda serta mengamalkan ajaran dan sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.

Dalam tazkirah tersebut, beliau turut menekankan dengan berakhirnya 12 malam alunan Dikir Maulud di masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara bukan bererti berakhirnya kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Walaupun Rabiulawal berlalu, ajaran dan sunnah Baginda hendaklah terus diamalkan dalam kehidupan seharian.

Dayangku Nabilah Busyra turut sama-sama mengingatkan kepada seluruh umat Islam agar terus bermuhasabah bahawa cinta kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bukan sekadar dilafazkan, tetapi perlu diterjemahkan melalui amal, agar cinta yang disemai terus tumbuh dan memberi kesan dalam kehidupan.

Majlis turut disemarakkan dengan persembahan Dikir Assalamualaika dan Dikir Asyarakal daripada pegawai dan kakitangan wanita KKBS. Dikir Khairuman dipersembahkan oleh ahli-ahli wanita dari Persatuan WARGAMAS, MPM Lumapas, MPM Zon 1 Kampong Ayer dan MPM Zon 2 Kampong Ayer. Manakala Dikir Bisyahrin dipersembahkan oleh Muslimah Masjid dan KBM Masjid Kampung Limau Manis. Dikir Al-Hamdu dan Dikir Badat pula dipersembahkan oleh warga dari Bahagian Sekolah Ugama (Brunei IV), JPI.

Majlis disudahi dengan bacaan Doa Dikir serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam sebagai tanda kesyukuran serta memohon keberkatan untuk negara dan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Bulan Rabiulawal mencatatkan sejarah dan peristiwa yang sangat penting serta bermakna bagi umat Islam di seluruh dunia kerana pada bulan ini lahirnya semulia-mulia insan, seagung-agung manusia yang memiliki darjat yang tinggi di sisi Allah Subhanahu Wata’ala iaitu Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Baginda merupakan nabi terakhir dan tidak ada nabi selepas Baginda di mana kelahiran Baginda telah membawa sinar dan rahmat kepada seluruh alam.

Oleh itu, Majlis Dikir 12 Malam Berturut-Turut merupakan tradisi tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam sebagai wadah memperkukuhkan kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping menghayati perjuangan, akhlak serta sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.