Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan
KILANAS, Isnin, 24 Ogos. - Bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) malam tadi telah mengadakan Majlis Penutup Dikir yang berlangsung di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Industri), KEPI, Awang Mohammad Harris bin Brigadier General (B) Dato Paduka Haji Ibrahim. Turut hadir sama, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan di bawahnya, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid serta penduduk di Mukim Kilanas.
Majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas, Awang Adee Aiman bin Haji Muhiddin sebelum diteruskan dengan bacaan Dikir Assalai, Dikir Bisyahri, Dikir Alhamdulillah dan Dikir Marhaban secara beramai-ramai.
Acara seterusnya diikuti dengan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah dan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam sebelum diakhiri dengan sesi bergambar ramai yang melibatkan warga KEPI, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas serta orang ramai yang hadir sama dalam memeriahkan lagi majlis tersebut.