28 belia sertai Projek Rintis PKBN

25 Og 2026 - 9:00am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

TEMBURONG, Isnin, 24 Ogos. - Seramai 28 orang belia, terdiri daripada 15 orang lelaki dan 13 orang perempuan berumur antara 20 hingga 25 tahun, menyertai Projek Rintis Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Enam Bulan yang telah dilancarkan hari ini di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara, Batu Apoi, Daerah Temburong.

Projek rintis yang dilaksanakan bermula pada 9 Ogos 2026 hingga 4 Februari 2027 ini adalah berlandaskan hasrat dan keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memperluas ruang bagi pelatih untuk menjalani modul latihan yang lebih teratur dan mendalam ke arah membentuk generasi belia yang berdisiplin, berjati diri dan berdaya tahan serta dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan bagi menghadapi cabaran hari ini dan masa hadapan.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dipimpin oleh Pelatih 14651 Muhammad Waiz @ Abdul Aziz bin Haji Shahrin dari Platun 1, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Khidmat Bakti Negara selaku Pengerusi Majlis, Pengiran Haji Md. Asran bin Pengiran Haji Mahmud.

Seterusnya, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat majlis, sebelum menyempurnakan pelancaran Projek Rintis PKBN Enam Bulan.

Sejurus selepas pelancaran, majlis diteruskan dengan Lafaz Ikrar PKBN yang diketuai oleh Pelatih 14643 Muhammad Zul Zakreen bin Abdullah Muhammad Adriady Hakimie dari Platun 1, diikuti dengan persembahan lagu 'Sedia Berbakti' oleh para pelatih Projek Rintis PKBN Enam Bulan.

Projek Rintis PKBN Enam Bulan merangkumi lima komponen utama, iaitu Komponen Jati Diri, Kenegaraan dan Keagamaan; Komponen Disiplin dan Latihan Fizikal; Komponen Khidmat Komuniti; Komponen Siap Siaga Masa Depan; serta Komponen Program Pertahanan Awam.

Pelaksanaan komponen-komponen berkenaan melibatkan kerjasama pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta serta pertubuhan bukan kerajaan.

Antara pembaharuan utama projek rintis ini ialah pengenalan Komponen Siap Siaga Masa Depan, yang merupakan penambahbaikan kepada Komponen Keusahawanan yang dilaksanakan sebelum ini.

Komponen tersebut diperkukuhkan dengan modul-modul baharu bagi mempersiapkan para pelatih untuk memasuki alam pekerjaan atau menceburi bidang keusahawanan, dengan memberikan penekanan kepada pengetahuan dan kemahiran yang relevan dengan perkembangan semasa, termasuk dalam bidang inovasi, teknologi digital dan celik kewangan.

Pengisian ini dihasratkan untuk meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing para pelatih, di samping membina keyakinan serta keupayaan mereka untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dunia pekerjaan, meneroka peluang keusahawanan dan menjana pendapatan secara berdikari.

Sementara itu, melalui Komponen Program Pertahanan Awam, para pelatih akan menjalani penempatan di Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).

Penempatan tersebut memberikan pendedahan kepada para pelatih mengenai peranan dan tanggungjawab agensi-agensi berkenaan, di samping memberikan pengetahuan asas berkaitan keselamatan dan kesiapsiagaan serta menyemai semangat untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara.

Secara keseluruhannya, Projek Rintis PKBN Enam Bulan memberikan penekanan kepada pembangunan belia secara menyeluruh dengan mengimbangi pembentukan disiplin, sahsiah, jati diri dan semangat patriotisme dengan pembangunan pengetahuan, kemahiran dan kesiapsiagaan masa hadapan.

Melalui pengisian program yang diperkukuhkan ini, PKBN dihasratkan untuk melahirkan generasi belia yang cekal, berdikari dan berdaya tahan serta memiliki keyakinan diri, nilai-nilai murni dan rasa tanggungjawab untuk memberikan sumbangan yang bermakna kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau; Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap; Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar; pegawai-pegawai kanan kerajaan, para ibu bapa dan penjaga serta para jemputan.