Siaran Akhbar dan Foto : Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 24 Ogos. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan Pelajar mengadakan Majlis Sambutan Dikir Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Majlis berlangsung pagi tadi di Dewan Tarbiah, kolej universiti berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat, Ra’es KUPU SB, Dr. Haji Arman bin Haji Asmad.
Turut hadir, pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai utama, pensyarah, pegawai dan kakitangan serta mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.
Majlis diserikan dengan tazkirah bertajuk ‘Maulid Nabi: Cinta, Ilmu dan Akhlak’, yang disampaikan oleh Tenaga Akademik, Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath KUPU SB, Profesor Madya Dr. Harapandi Dahri.
Antara inti pati yang dapat diambil daripada tazkirah berkenaan ialah Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bukan sekadar mengenang kelahiran Baginda, tetapi merupakan momentum untuk memperbaharui cinta, memperkukuh ilmu dan memperindah akhlak berdasarkan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Cinta kepada Rasulullah mendorong kita mempelajari ajarannya. Ilmu tentang Rasulullah membawa kita mengikuti sunnahnya. Dan ilmu yang benar akhirnya tercermin dalam akhlak yang mulia.
Justeru, Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam akan benar-benar bermakna apabila cinta kita bertambah, ilmu kita bertambah dan akhlak kita menjadi lebih baik.
Adapun tujuan majlis ini diadakan antara lain bagi menyemarakkan lagi Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di samping menghayati dan mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai Uswah Hasanah sepanjang zaman.