Pelajar baharu UNISSA mulakan Minggu Ta'aruf

25 Og 2026 - 7:58am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Hernie Suliana Haji Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 24 Ogos. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) mengadakan Majlis Amanat dan Ikrar bagi Pelajar Baharu Sesi 2026 / 2027 sebagai menandakan bermulanya Program Ta'aruf UNISSA, petang tadi.

Bagi Sesi Tahun Akademik 2026 / 2027, seramai 503 pelajar iaitu 397  pelajar dalam Program Prasiswazah dan 106 pelajar dalam Program Siswazah.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Rektor UNISSA, Profesor Madya Dr. Awang Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani yang seterusnya menyampaikan Ucapan Amanat Rektor serta merasmikan Program Ta'aruf UNISSA.

Dalam amanatnya menegaskan bahawa ilmu yang dipelajari di UNISSA bersifat 'serampang dua mata' yang menyeimbangkan keperluan dunia dan akhirat, di mana ilmu wahyu, ilmu aqli, keilmuan Islam tradisi serta perkembangan ilmu kontemporari diintegrasikan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran universiti.

Rektor UNISSA juga menyeru para pelajar baharu agar menetapkan niat yang benar dalam menuntut ilmu, mengimbangi kecemerlangan akademik dengan pembentukan sahsiah, serta memanfaatkan ilmu untuk memberi manfaat kepada orang lain.

Para pelajar juga dinasihatkan supaya tidak mudah berputus asa apabila berdepan cabaran, berani mencuba dan belajar daripada kesilapan, di samping membina semangat kekitaan serta sentiasa menjaga nama baik diri, keluarga, UNISSA dan negara.

Seiring dengan aspirasi UNISSA dalam 'Mencorak Khayra Ummah', para pelajar baharu digalakkan untuk melihat perjalanan mereka di universiti sebagai proses membentuk insan yang berilmu, berakhlak, berkemahiran dan mampu memberikan sumbangan bermakna kepada agama, bangsa dan negara.

Sepanjang program Ta'aruf UNISSA, para pelajar baharu akan mengikuti pelbagai pengisian yang merangkumi pengenalan kepada program akademik dan kokurikulum, fakulti serta perkhidmatan yang disediakan oleh universiti.

Program turut memberi penekanan kepada pembangunan sahsiah menerusi beberapa sesi antaranya Taklimat Makarimal Akhlak, Buli atau Hero, Taklimat Wawasan Brunei, University Survival Guide, Perjalanan Persiapan Kerjaya dan Navigating Digital Landscape as Khayra Ummah.

Selain itu, para pelajar juga akan menyertai aktiviti khidmat masyarakat sebagai sebahagian daripada usaha memupuk nilai keprihatinan, tanggungjawab dan semangat berbakti dalam kalangan mahasiswa UNISSA.

Program ta'aruf juga merangkumi satu Forum Khas sempena memperingati kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang menampilkan mahasiswa UNISSA sebagai ahli-ahli panel dan moderator. Turut hadir di majlis berkenaan, penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama, para pensyarah dan kakitangan UNISSA.