Oleh : Khartini Hamir
Foto : Pg. Nurhafilah Pg. Osman
BERAKAS, Ahad, 1 November. - Kejohanan Liga Super Sepak Takraw (LSST) TAIB 2026 yang diadakan bermula pada 9 Oktober 2026 menutup tirainya hari ini menerusi Majlis Penutupan Rasmi yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Majlis dimulakan dengan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan diikuti dengan menyaksikan perlawanan peringkat akhir bagi Kategori Liga Perdana antara Pasukan Bomba 'A' dan Muara Spurs 'B'.
Atur cara juga turut menyaksikan perlawanan persembahan daripada Pasukan Gabungan Brunei Darussalam dan Thailand.
Acara dilanjutkan dengan penyampaian hadiah, pingat dan piala pusingan Kejohanan LSST TAIB 2026 kepada pemain terbaik dan para pemenang.
Bagi Kategori Amatur, Tekong Terbaik disandang oleh AB 1362 Mohd. Faiz Farhan daripada Pasukan Bomba; Killer Terbaik disandang oleh Awang Muhammad Nur Faris Abdul Rahim daripada Pasukan Sengkurong 'A'; dan Feeder Terbaik disandang oleh AB 1480 Mohd. Norirfan daripada Pasukan Bomba.
Sementara johan dimenangi oleh Pasukan Bomba dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND1,500, sebuah trofi dan pingat kemenangan; naib johan ialah Pasukan Sengkurong 'A' dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND1,000, sebuah trofi dan pingat kemenangan; serta tempat ketiga bersama diraih oleh Pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei 'A' dan Pasukan Sengkurong 'B', dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak BND500, sebuah trofi serta pingat kemenangan.
Manakala, bagi Kategori Perdana, Tekong Terbaik disandang oleh Awang Mohd. Selamat bin Yaakub daripada Pasukan Muara Spurs 'B'; Killer Terbaik disandang oleh Awang Mohd. Noorazlan Rosli daripada Pasukan Muara Spurs 'B'; dan Feeder Terbaik disandang oleh AB 1075 Abdul Hadi Ariffin bin Haji Matali daripada Pasukan Bomba 'A'.
Sementara johan diraih oleh Pasukan Muara Spurs 'B' dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah BND5,000, piala pusingan, trofi dan pingat kemenangan; naib johan ialah Pasukan Bomba 'A' dengan membawa pulang BND3,000, sebuah trofi dan pingat kemenangan; dan tempat ketiga dimenangi bersama oleh Pasukan Majlis Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei 'B' dan Pasukan Bomba 'B', dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak BND1,000, sebuah trofi dan pingat kemenangan.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan serta Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) selaku penaja utama kejohanan.
Edisi LSST TAIB pada tahun ini menampilkan sebanyak 40 pasukan terbaik yang berentap merebut gelaran juara dalam kejohanan anjuran Persatuan Sepak Takraw Brunei Darussalam (PESTABARU) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Perbadanan TAIB.
Penganjuran kejohanan LSST kali keempat ini turut mempertandingkan sebanyak dua acara, iaitu Liga Perdana dengan 12 pasukan dan Liga Amatur dengan 28 pasukan.
Matlamat utama kejohanan ini adalah untuk mencari bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk diserapkan ke dalam program pembangunan atlet, pelapis dan pemain kebangsaan.
Seterusnya sebagai promosi bagi menarik minat orang ramai untuk berkecimpung dalam Sukan Sepak Takraw, serta sebagai 'Whole-of-Nation Approach' iaitu penglibatan beberapa agensi untuk memainkan peranan masing-masing dalam membawa warga menuju budaya hidup sihat, di samping menghidupkan semula sukan tradisional Sepak Takraw yang telah lama bertapak di Negara Brunei Darussalam.