Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas
MERANGKING, Ahad, 1 November. - Majlis Perundingan Kampung (MPK) Merangking dengan kerjasama Jawatankuasa Tamu Jati Kampung Merangking telah menganjurkan Pesta Tamu Santai Jati Kampung Merangking yang berlangsung di Tamu Jati Kampung berkenaan, di hadapan Balai Ibadat Kampung Merangking.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan pesta berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah@Lim Swee Ann, Ketua Kampung Bukit Sawat.
Penganjuran Pesta Tamu Santai Jati Kampung Merangking bertujuan untuk menghidupkan dan memeriahkan aktiviti Tamu Jati Kampung Merangking sebagai salah satu wadah kemasyarakatan di kampung berkenaan.
Selain itu, pesta berkenaan turut bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penduduk kampung. Ia juga menyediakan ruang dan peluang kepada penduduk untuk menjalankan aktiviti jualan, di samping memperkenalkan pelbagai hasil makanan, minuman dan produk tempatan.
Penganjuran tersebut turut menggalakkan penglibatan masyarakat, khususnya golongan belia dan keluarga, dalam aktiviti kemasyarakatan serta sukan ria. Dalam masa yang sama, Tamu Jati Kampung Merangking diharapkan dapat dijadikan sebagai salah satu destinasi kunjungan dan tempat menjalankan aktiviti hujung minggu bagi penduduk kampung serta orang ramai.
Antara aktiviti jualan sepanjang pesta berkenaan termasuk makanan dan minuman, kuih-muih serta makanan tradisional, hasil pertanian dan hasil kampung, produk perusahaan kecil dan kraf tangan, selain pelbagai barangan lain yang bersesuaian.
Bagi menambahkan lagi kemeriahan acara, pelbagai aktiviti sukan ria turut diadakan bagi menggalakkan penyertaan serta mengeratkan kemesraan dalam kalangan penduduk. Aktiviti tersebut merangkumi permainan tradisional, acara sukan santai, acara berkumpulan serta aktiviti khusus untuk kanak-kanak dan golongan belia.
Melalui penganjuran pesta berkenaan, diharapkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk akan terus diperkukuhkan, di samping meningkatkan semangat kerjasama dan perpaduan masyarakat kampung.
Selain menjadi platform untuk mempromosikan dan memasarkan hasil makanan, produk serta hasil kampung, acara tersebut juga diharap dapat mewujudkan suasana riadah yang santai dan meriah untuk dinikmati bersama oleh penduduk kampung dan para pengunjung.
Sehubungan itu, pihak MPK Merangking amat mengalu-alukan sokongan serta kerjasama daripada Jabatan Daerah Belait bagi menjayakan penganjuran Pesta Santai Tamu Jati Kampung Merangking. Turut hadir, Ketua Kampung Merangking selaku Pengerusi MPK Merangking, Daerah Belait, Awang Nurulizam bin Abdul Rahman serta penduduk Kampung Merangking.