Ilmu sebagai jalan membina tawaduk, keinsafan

2 Nov 2026 - 5:03am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 1 November. - Ilmu yang sebenar bukan sekadar memperluas pengetahuan dan meningkatkan kedudukan seseorang, bahkan seharusnya menyuburkan sifat tawaduk, keinsafan dan kesedaran terhadap kebesaran Allah Subhanahu Wata’ala.

Semakin tinggi ilmu yang dimiliki, semakin mendalam seharusnya kerendahan hati serta kesediaan untuk menerima kebenaran dan menghargai orang lain.

Demikian antara inti pati tazkirah bertajuk ‘Setinggi Ilmu, Sedalam Tawaduk’ yang disampaikan oleh Timbalan Dekan, Fakulti Syariah, Graduan Program Doktor Falsafah Perguruan Ugama (Syariah), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Dayang Hajah Siti Juriah@Raneya Fatehah binti Haji Japar bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Kali Ke-253 (Khas Untuk Wanita Ke-42) sempena Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-16 yang bersiaran dari Surau Utama KUPU SB, baru-baru ini.

Dayang Hajah Siti Juriah@Raneya Fatehah seterusnya mengongsikan antara tiga perkara utama tentang ilmu adalah pertama, ilmu sebagai jalan mengenali kebesaran Allah dan menyedari keterbatasan diri.

Berpandukan Surah Al-Mujadilah, ayat 11 dan Surah Al-Isra’, ayat 85, dijelaskan bahawa kemuliaan ilmu perlu disertai kesedaran bahawa pengetahuan manusia tetap terbatas berbanding keluasan ilmu Allah Subhanahu Wata’ala.

Kedua, tambahnya, tawaduk sebagai benteng daripada kesombongan dan keangkuhan. Berdasarkan tuntutan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sifat merendah diri kerana Allah merupakan jalan menuju kemuliaan, manakala kesombongan boleh menghalang seseorang daripada menerima kebenaran serta menghormati orang lain.

“Yang terakhir, penghayatan ilmu melalui keindahan akhlak dan tindakan. Dengan meneladani keperibadian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, ditekankan bahawa ketinggian ilmu dan kedudukan tidak seharusnya menghalang seseorang daripada bersikap sederhana, menghargai sumbangan orang lain, menerima teguran serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh hikmah dan keikhlasan,” ujarnya.

Program Malam Munajat tersebut turut disemarakkan oleh tenaga akademik dan para graduan KUPU SB yang bersiaran dari Surau Utama KUPU SB berkenaan sebagai tumpuan utama.

Juga menyertai, para Muslimah dan jemaah dari beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja wanita KHEU dan juga individu yang turut serta secara maya dari kediaman masing-masing.

Atur cara Malam Munajat tersebut dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Penolong Ra’es II (Hal Ehwal Akademik), KUPU SB, Dr. Dayang Norasimah binti Haji Omar, diikuti dengan bacaan Surah As-Sajdah beramai-ramai dipimpin oleh Dayang Norliza binti Abd. Jalil, Nazir Sekolah-Sekolah Ugama, Unit Maklumat dan Perangkaan, Bahagian Kenaziran, Jabatan Pengajian Islam, KHEU, Pelajar Program Sarjana Muda Perguruan Ugama dengan Minor Seni Al-Quran, Tahun 4, KUPU SB.

Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Pemangku Guru Besar Sekolah Ugama Pantai Berakas, Kawasan Brunei II, Graduan Program Sarjana Perguruan Ugama (Pendidikan Islam), KUPU SB, Dayang Norfadizlina binti Haji Abd. Rahman.

Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Memohon Dikurniakan Hujan Sebab Dilanda Jerebu oleh Guru Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Graduan Program Diploma Perguruan Ugama Lepas Ijazah, KUPU SB, Dayang Nur Ezzati Aqilah binti Rosli.

Sejurus selesai tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Naib Yang Dipertua Pelajar (Siswi), Majlis Perwakilan Pelajar, KUPU SB, Dayang Siti Ranaa Rayhaanah binti Mohd. Reduan. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Graduan Program Diploma Tertinggi Perguruan Ugama (Pendidikan Islam), KUPU SB, Dayang Halimatus Rabeatul Saiedah binti Huzaimi.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.

Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut http://tiny.cc/munajatkheuwanita.