Berkenan berangkat sertai VA Run 2026

2 Nov 2026 - 5:28am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

BERAKAS, Ahad, 1 November. - Kira-kira 2,000 peserta menyertai acara larian tahunan VA Run 2026 Powered by Imagine yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, hari ini, sekali gus mencatatkan peningkatan penyertaan bagi tahun ketiga penganjurannya sejak diperkenalkan pada 2024.

Dianjurkan oleh Victory Athletes dengan sokongan Imagine Sdn. Bhd. selaku penaja utama, acara berkenaan mempertandingkan empat kategori larian, iaitu 3 kilometer (km), 5km, 10km dan Separuh Maraton sejauh 21km.

Berangkat menyertai acara larian tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman yang berkenan menyertai larian sejauh 5km.

Penganjuran tahun ini turut menyaksikan penggunaan Stadium Negara Hassanal Bolkiah sebagai lokasi baharu, sekali gus memberikan pengalaman istimewa kepada para peserta apabila berpeluang menamatkan 300 meter terakhir larian masing-masing di atas trek stadium berkenaan.

Pengalaman tersebut membolehkan para peserta daripada setiap kategori merasai detik melintasi garisan penamat di sebuah stadium ikonik negara yang pernah menjadi gelanggang bagi pelbagai acara sukan utama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Selain mempromosikan kecergasan dan penglibatan komuniti, VA Run 2026 turut meneruskan komitmen kebajikannya menerusi inisiatif #VictoryForOne, dengan memperuntukkan BND1 daripada setiap yuran penyertaan untuk disumbangkan kepada badan kebajikan.

Menerusi penyertaan seramai 2,000 peserta tahun ini, sejumlah BND2,000 akan disumbangkan kepada UnikLearn bagi menyokong usaha dan program yang memberikan manfaat kepada individu serta keluarga dalam masyarakat.

Pada edisi 2025, Victory Athletes telah menyumbangkan sebanyak BND1,700 kepada An-Nur Harapan melalui inisiatif yang sama.

Pengasas Victory Athletes, Muizz Hasnani berkata bahawa sejak penganjuran pertama pada 2024, pihaknya berhasrat untuk menjadikan VA Run sebagai acara larian yang mencapai piawaian antarabangsa, di samping kekal inklusif dan mesra kepada semua lapisan masyarakat.

Menurutnya, peningkatan jumlah penyertaan kepada 2,000 peserta pada tahun ini merupakan perkembangan yang amat bermakna kerana menunjukkan semakin ramai masyarakat menjadikan aktiviti larian dan gaya hidup sihat sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian.

Beliau juga menyifatkan edisi tahun ini sebagai istimewa kerana semua peserta berpeluang menamatkan larian masing-masing di dalam Stadium Negara Hassanal Bolkiah, tanpa mengira kategori yang disertai.

Tambahnya, melalui inisiatif #VictoryForOne, setiap peserta bukan sahaja berpeluang mencapai matlamat kecergasan masing-masing, malah turut memainkan peranan dalam menyumbang kepada masyarakat.

Victory Athletes juga sedang membuat persiapan bagi penganjuran acara akan datang, termasuk VA Marathon 2027 yang dijangka memperkenalkan Kategori Maraton Penuh sejauh 42.195km di Kuala Belait.

Melalui penganjuran acara seumpamanya, Victory Athletes berharap dapat terus menyumbang kepada usaha mempromosikan Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai destinasi pelancongan sukan, di samping menggalakkan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat.

Ditubuhkan pada tahun 2014, Victory Athletes merupakan sebuah jenama sukan dan gaya hidup tempatan yang komited dalam menyokong para atlet, mempromosikan gaya hidup aktif serta membangunkan acara sukan berasaskan komuniti.

Melalui VA Event Management, jenama ini terus aktif menganjurkan acara larian yang menghimpunkan masyarakat, menggalakkan penglibatan dalam bidang sukan serta menyumbang kepada perkembangan landskap sukan di NBD.