Pilih Islam sebagai pegangan hidup

2 Nov 2026 - 5:13am

Berita dan Foto : Ihsan Pusat Da'wah Islamiah

 

MENTIRI, Ahad, 1 November. - Seorang lelaki berbangsa Iban telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidup dan melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang diadakan di Rancangan Perumahan Negara Kampung Mentiri.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, dan diikuti dengan lafaz ikrar pengislaman dan Dua Kalimah Syahadah oleh Norezat Gagat anak Banggau, berusia 22 tahun di hadapan pegawai daripada Bahagian Pengembangan Da'wah (Pengislaman), Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Setelah memeluk agama Islam, beliau telah memilih nama Islam, Muhammad Norezat bin Abdullah Banggau.

Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada saudara baharu yang diraikan, diikuti dengan Dikir Marhaban, dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Menurut statistik, seramai 217 orang telah memeluk agama Islam di Negara Brunei Darussalam sejak awal Januari hingga 22 Oktober 2026.

Daripada jumlah tersebut, seramai 113 orang adalah dari Daerah Brunei dan Muara.