Usaha membangunkan ekosistem pelancongan lebih bernilai, inklusif

6 Og 2026 - 7:00am

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani

Foto : Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. – Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin berkata, dalam menggalakkan penglibatan akar umbi dalam menyediakan pakej dan perkhidmatan pelancongan, kementerian menyedari bahawa kejayaan Visit Brunei Year 2027 (VBY2027) memerlukan penglibatan menyeluruh bukan saja bagi ejen-ejen pelancongan, hotel dan juga ‘airlines’, malah juga komuniti termasuk penduduk kampung dan mukim.

Oleh itu jelas Yang Berhormat, Jabatan Kemajuan Pelancongan akan terus melibatkan dan menggalakkan Majlis Perundingan Mukim dan Majlis Perundingan Kampung untuk sama-sama terlibat langsung dalam mengadakan aktiviti-aktiviti bagi menjayakan VBY2027.

"Alhamdulillah, setakat ini sambutan daripada Majlis Perundingan Mukim dan Kampung adalah sangat menggalakkan," ujar Yang Berhormat semasa menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, juga Ketua Kampung Putat, Daerah Brunei dan Muara pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Manakala bagi memanfaatkan platform digital sepenuhnya dalam menjayakan kempen VBY2027, Yang Berhormat menjelaskan, kementerian rancak bekerjasama dengan rakan-rakan strategik antarabangsa seperti ‘online travel agent’ seperti Agoda, Ctrip dan Klook dalam meningkatkan pencapaian promosi Negara Brunei Darussalam (NBD) serta memudahkan pelancong mendapatkan maklumat membuat tempahan penginapan dan aktiviti-aktiviti pelancongan secara dalam talian.

Yang Berhormat menyeru kepada sektor-sektor swasta yang terlibat untuk sama-sama memanfaatkan platform ini bagi memudahkan para pelancong untuk menempah program-program mereka dan kementerian ini juga sedang bekerjasama dengan institusi kewangan dan rakan strategik bagi memperluaskan pembangunan pembayaran digital dalam kalangan pengusaha pelancongan.

Menurut Yang Berhormat, ini mengambil kira trend pelancongan antarabangsa yang semakin bergantung kepada pembayaran tanpa tunai.

Oleh itu jelas Yang Berhormat, kementerian sedang berusaha memperkenalkan kemudahan pembayaran digital kepada vendor pelancongan termasuk perusahaan kecil di gerai-gerai untuk dapat lebih memanfaatkan perbelanjaan pelancong untuk pendapatan mereka.

Yang Berhormat seterusnya berkata, bagi meningkatkan kemudahan dan infrastruktur pelancongan bukan sahaja disediakan oleh pihak kerajaan malahan sektor swasta, sebagai contoh pelaburan sebuah resort oleh Borneo Eco Resort Sdn. Bhd. akan menyediakan satu lagi tarikan yang baharu di negara ini insyaaAllah dalam masa terdekat ini.

"Di samping itu, pihak Jabatan Kemajuan Pelancongan juga sibuk menyediakan ‘signage’ yang baharu di tempat-tempat yang menarik dan juga lokasi-lokasi pelancongan terutamanya di tepi-tepi jalan ‘highway’ dan juga menuju ke kawasan-kawasan pelancongan tersebut," ujar Yang Berhormat.

Mengenai dengan kempen mesra senegara, Yang Behormat menjelaskan, kempen mesra ini ialah inisiatif bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pelancongan supaya lebih ramah, sopan dan mesra terutama sekali kepada ‘frontline workers’ dan insyaaAllah, projek ini adalah satu ‘national project’ yang akan melibatkan kementerian-kementerian bagi membolehkan kita menambah baik perkhidmatan, khususnya petugas barisan hadapan.

Secara keseluruhan tambah Yang Berhormat, VBY2027 bukan sahaja merupakan satu kempen pemasaran pelancongan tetapi merupakan satu usaha menyeluruh untuk membangunkan ekosistem pelancongan yang lebih bernilai, inklusif dan mampan.

Jelas Yang Berhormat lagi, kejayaan VBY2027 akan diukur bukan sahaja melalui peningkatan jumlah pelawat tetapi juga melalui peningkatan tempoh penginapan, perbelanjaan pelancong, pulangan perniagaan kepada pengusaha tempatan terutama sekali komuniti serta limpahan kepada masyarakat secara keseluruhannya.