Berangkat tiba di Moscow bagi Keberangkatan Negara

26 Nov 2026 - 9:54am

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin

MOSCOW, Selasa, 24 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berangkat tiba di Moscow, Persekutuan Rusia, malam ini bagi mengadakan Keberangkatan Negara selama dua hari yang dijadualkan berlangsung pada 24 dan 25 November 2026, atas undangan Presiden Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Vladimir Putin.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Sejurus keberangkatan tiba di Lapangan Terbang Vnukovo 2, Moscow, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi, Tuan Yang Terutama Valery Falkov; Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Tuan Yang Terutama Andrey Rudenko dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Persekutuan Rusia ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Mikhail Vladimirovich Baranov.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya disembahkan dengan penghormatan Kawalan Kehormatan Statik, dan diikuti dengan Lagu Kebangsaan Persekutuan Rusia dan NBD.

Kebawah DYMM juga disembahkenalkan kepada para pegawai kanan Persekutuan Rusia sebelum menaiki kenaikan khas menuju ke tempat persemayaman baginda di Moscow.

Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba baginda ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Pengiran Muhammad Husaini bin Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin.