Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 November. - Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) pagi tadi mengadakan Majlis Penerimaan Hasil Kutipan SMS Brunei Prihatin bagi Tahun 2025-2026, Penerimaan Sumbangan Kewangan Untuk DANA dan Pelancaran SMS Brunei Prihatin bagi DANA Tahun 2026-2027 bertempat di Dewan Serbaguna, Kompleks YSHHB, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah DANA.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DANA.
SMS Brunei Prihatin bagi DANA Tahun 2025-2026 telah berjaya membuat kutipan daripada orang ramai sebanyak BND90,595.
Projek tersebut berjalan selama sembilan bulan iaitu bermula 27 November 2025 hingga 27 Ogos 2026.
Tiga buah syarikat telekomunikasi iaitu DST, Syarikat Progresif Sdn. Bhd. dan Syarikat Imagine Sdn. Bhd. telah memberi kemudahan perkhidmatan SMS kepada para penyumbang yang membuat sumbangan kepada DANA melalui SMS tanpa caj.
Manakala Jabatan Radio dan Televisyen Brunei, Jabatan Penerangan dan Jabatan Hal Ehwal Masjid masing-masing bertindak sebagai penyalur maklumat kepada orang ramai melalui siaran televisyen dan rangkaian radio, akhbar rasmi kerajaan iaitu Pelita Brunei dan juga Khutbah Jumaat.
Selain itu, beberapa buah pawagam di negara ini juga memberi sokongan melalui slot pengiklanan tanpa mengenakan sebarang bayaran.
Daripada jumlah keseluruhan kutipan SMS Brunei Prihatin bagi DANA Tahun 2025- 2026, sebanyak BND60,053 berjaya dikumpulkan melalui sumbangan pelanggan DST.
Kutipan tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi DST, Ang Kian Han. Selain itu, DST turut menyampaikan sumbangan korporat berjumlah BND10,000 kepada DANA.
Sementara itu, kutipan melalui sumbangan pelanggan Progresif Sdn. Bhd. berjumlah BND28,885 disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Progresif Sdn. Bhd., Dayang Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar.
Syarikat berkenaan turut menyampaikan sumbangan korporat berjumlah BND1,000 kepada DANA.
Kutipan melalui sumbangan pelanggan Imagine Sdn. Bhd. pula berjumlah BND1,657 dan disampaikan oleh Naib Presiden Kanan Teknologi Maklumat dan Inovasi, Imagine Sdn. Bhd., Awang Haji Mohd Radziman bin Haji Abd. Rahman. Syarikat berkenaan turut menyampaikan sumbangan korporat berjumlah BND5,000 kepada DANA.
DANA turut menerima sumbangan kewangan berjumlah BND11,000 daripada Persatuan Orang-orang Islam India di Brunei (POIIDB).
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Presiden POIIDB, Awang Haji Hidhayathulla bin Haji Tajudeen.
Kesemua sumbangan tersebut diterima oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan Pelancaran SMS Brunei Prihatin bagi DANA Tahun 2026-2027 telah disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Tujuan utama bagi mengadakan SMS Brunei Prihatin bagi DANA adalah untuk meningkatkan rasa pemedulian dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat terhadap anak-anak yatim. Projek ini juga adalah merupakan salah satu usaha DANA dalam mempelbagaikan cara atau mekanisme yang mudah untuk orang ramai menyalurkan sumbangan ikhlas mereka khusus kepada anak-anak yatim di negara ini.
DANA sangat menghargai sokongan dan derma daripada para dermawan bagi sama-sama membantu DANA dalam usahanya untuk mempertingkatkan kesejahteraan hidup anak-anak yatim di Negara Brunei Darussalam.
Orang ramai yang berhasrat untuk membuat sumbangan mereka kepada anak-anak yatim melalui SMS Brunei Prihatin bagi DANA bolehlah memberi sumbangan melalui SMS sama ada BND100 atau BND50 atau BND20 atau BND15 atau BND10 atau BND5 atau BND1.
Setiap SMS yang dikirim khusus bagi sumbangan ini tidak akan dikenakan sebarang caj perkhidmatan oleh ketiga-tiga syarikat telekomunikasi berkenaan.
Bagi orang ramai yang ingin membuat sumbangan bolehlah menaip kata laluan DANA dan diikuti dengan jumlah sumbangan (100 atau 50 atau 20 atau 15 atau 10 atau 5 atau 1) tanpa jarak dan menghantarnya ke nombor 38111 bagi pengguna talian DST dan Progresif atau 39999 bagi pengguna talian Imagine. Contoh : DANA10 (bagi sumbangan BND10).