Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 November. - Hari Kebangsaan bukan sekadar suatu sambutan tahunan dalam kalendar negara, tetapi merupakan manifestasi rasa syukur atas nikmat kemerdekaan, keamanan dan kedaulatan yang ‘kitani’ kecapi.
Ia juga merupakan wadah untuk memperbaharui tekad dan iltizam kitani dalam memperkukuh perpaduan, menyemarakkan semangat patriotisme serta menzahirkan taat setia kepada raja dan negara.
Dalam hubungan ini, kejayaan penganjuran Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-42, Tahun 2026 yang lalu merupakan hasil komitmen, dedikasi dan kerjasama erat pelbagai pihak di semua peringkat.
Kejayaan tersebut bukan sahaja mencerminkan keupayaan ‘kitani’ dalam mengendalikan acara kenegaraan, malah memperlihatkan semangat kebersamaan dan kecintaan kepada negara yang terus subur dalam kalangan rakyat dan penduduk.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, semasa Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD Ke-43, Tahun 2027, yang berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, pagi tadi.
Kongsi Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, berlandaskan pengalaman dan pencapaian tersebut, adalah penting bagi kita untuk juga terus mengenal pasti peluang penambahbaikan dan memperkasakan Sambutan Hari Kebangsaan ini, bukan sahaja dari aspek pengurusan dan penyelarasan, bahkan dari segi pengisian, penyertaan serta impak sambutan kepada masyarakat, agar ia akan terus menjadi sambutan yang dekat di hati rakyat dan dihayati bersama.
“Sebagimana yang ‘kitani’ sedia maklum, Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD Ke-43, Tahun 2027 akan berlangsung dalam bulan Ramadan Al-Mubarak. Keadaan ini sewajarnya diberikan perhatian khusus dalam merangka konsep, pengisian dan tatacara pelaksanaan sambutan, dengan mengambil kira tuntutan ibadah, kesesuaian waktu serta keberkatan bulan yang mulia ini,” ujar Yang Berhormat.
Berpandukan pengalaman penganjuran sambutan pada tahun lalu yang turut berlangsung dalam bulan Ramadan jelas Yang Berhormat, ‘kitani’ mempunyai asas yang baik untuk merangka pendekatan yang bersesuaian dan berkesan. Pengalaman tersebut hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya, dengan mengambil kira aspek kebajikan para peserta, kesesuaian pengaturan acara serta kelancaran pelaksanaan sambutan secara keseluruhannya.
Pada masa yang sama, tambah Yang Berhormat lagi, Sambutan Hari Kebangsaan dalam bulan Ramadan memberikan ‘kitani’ peluang untuk memperkukuh lagi penghayatan terhadap nilai-nilai kesyukuran, keinsafan, perpaduan dan tanggungjawab bersama, selaras dengan falsafah Melayu Islam Beraja yang menjadi teras kehidupan bernegara.
Mesyuarat pertama pada pagi ini merupakan langkah penting dalam menetapkan asas dan hala tuju persediaan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD Ke-43, Tahun 2027 ujar Yang Berhormat.
“InsyaaAllah, ‘kitani’ akan meneliti laporan pasca pelaksanaan (‘post mortem’) Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD Ke-42, Tahun 2026. Mesyuarat ini juga akan mempertimbangkan beberapa perkara dasar dan cadangan awal yang dikemukakan oleh Urus Setia, termasuk konsep keseluruhan sambutan, cadangan tema, reka bentuk logo, format upacara kemuncak serta acara-acara utama yang akan dilaksanakan,” terang Yang Berhormat.
Perkara-perkara ini, kongsi Yang Berhormat, memerlukan penelitian dan pertimbangan bersama agar setiap ketetapan yang dicapai mempunyai hala tuju yang jelas serta dapat diterjemahkan kepada tindakan yang terancang dan berkesan.
Sehubungan itu, Yang Berhormat mengalu-alukan pandangan, buah fikiran serta cadangan yang konstruktif daripada seluruh Ahli Jawatankuasa Tertinggi. Adalah penting agar setiap keputusan yang dicapai pada pagi ini disusuli dengan penyelarasan yang rapi, pembahagian tanggungjawab yang jelas serta tindakan susulan yang teratur bagi memastikan segala persediaan dapat dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.
Agenda mesyuarat kali ini antara lain memfokuskan kepada rumusan laporan pasca pelaksanaan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD Ke-42, Tahun 2026, cadangan logo, tema dan huraian tema bagi sambutan Ke-43, Tahun 2027, format acara kemuncak, serta perancangan acara-acara sambutan.
Perbincangan turut merangkumi tarikh upacara-upacara menaikkan dan menurunkan Bendera Besar, Majlis Pengagihan Bendera Kecil Meja, Program Semarak Pengibaran Bendera serta Majlis Khatam Al-Quran 43 Kali.
Turut hadir, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Penasihat Bersama, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Pesuruhjaya Pasukan Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Awang Sulaiman bin Alidin selaku Timbalan Pengerusi Bersama.
Hadir sama, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD Ke-43, Tahun 2027.
Jawatankuasa Tertinggi berkenaan berperanan merancang, menyelaras dan menjayakan sambutan tersebut agar terus menjadi wadah menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan serta menzahirkan rasa syukur atas nikmat kemerdekaan, keamanan dan kedaulatan negara.
Memandangkan sambutan tahun 2027 berlangsung dalam bulan suci Ramadan, perancangan turut memberikan penekanan khusus terhadap konsep, pengisian dan tatacara pelaksanaan yang bersesuaian dengan tuntutan ibadah, kesesuaian waktu serta keberkatan bulan yang mulia itu.