Oleh : Aimi Sani
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
TANAH JAMBU, Rabu, 25 November. - Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof menekankan kepentingan Pendidikan Ketenteraan Profesional (PME) dalam membentuk pemimpin yang berkeupayaan menyesuaikan diri, membuat pertimbangan yang bijaksana serta memperkukuh kerjasama pertahanan antarabangsa.
Berucap pada Majlis Penutup Kursus Maktab Turus Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) Ke-16, Tahun 2026 yang berlangsung di Akademi Pertahanan ABDB (AP ABDB), Tanah Jambu, Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II turut mengetengahkan pemboleh daya strategik PERKASA yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan Kemaskini 2026 (KPPK 2026), dengan menekankan keperluan untuk memperkukuh daya tahan negara, mengadaptasi teknologi baharu secara bertanggungjawab serta mengekalkan keupayaan pertahanan yang berwibawa.
Menurut Yang Berhormat lagi, dalam menghadapi persekitaran keselamatan global yang semakin kompleks, pendidikan ketenteraan profesional perlu terus berkembang seiring dengan keperluan pertahanan negara.
Perkara ini terang Yang Berhormat, antara lain dicerminkan melalui penambahbaikan Modul Keupayaan Ketenteraan pada tahun ini yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Cranfield dan King's College United Kingdom, serta disokong melalui penglibatan bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Markas Pemerintahan Pasukan Bersama.
Jelas Yang Berhormat, inisiatif berkenaan menekankan bahawa keupayaan ketenteraan bukan hanya diukur berdasarkan kelengkapan dan peralatan semata-mata, malah turut bergantung kepada keberkesanan penyelarasan dan pengukuhan aspek sumber manusia, doktrin, organisasi, latihan, teknologi serta sokongan yang berterusan.
“Bagi merealisasikan keutamaan tersebut, penyelarasan antara dasar yang kukuh, sumber manusia yang berkeupayaan, peruntukan sumber yang bersesuaian serta penggunaan teknologi dengan objektif strategik yang jelas adalah amat penting.
“Perkara ini semakin relevan memandangkan perkembangan teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI), sistem autonomi, teknologi siber dan angkasa lepas berpotensi mengubah bentuk ancaman serta operasi ketenteraan.
“Walau bagaimanapun, meskipun teknologi mampu meningkatkan keupayaan pertahanan, ia bukanlah satu-satunya faktor yang menentukan kelebihan ketenteraan. Sebaliknya, peranan manusia, pertimbangan etika dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan tetap menjadi penentu kepada keberkesanan penggunaannya,” terang Yang Berhormat.
Sebagai sebuah negara kecil yang cintakan keamanan, tambah Yang Berhormat lagi, keamanan dan kestabilan yang dinikmati oleh Negara Brunei Darussalam merupakan satu anugerah yang tidak seharusnya dipandang ringan. Oleh itu, keupayaan pertahanan yang berwibawa, daya tahan negara, institusi yang dipercayai serta kerjasama strategik perlu terus diperkukuh bagi memelihara keamanan dan kedaulatan negara.