Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. IbrahimFoto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohammad Hasif Matzin, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
TUNGKU LINK, Khamis, 22 Oktober. - Dalam usaha memastikan program pengajian yang ditawarkan kekal berkualiti, relevan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa, pada 8 Julai 2026, Program Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Islam), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah dianugerahkan status Akreditasi Penuh oleh AsTEN Teacher Education Quality Assurance Agency (ATQA), yang berkuat kuasa sehingga 18 November 2029. ATQA merupakan agensi akreditasi di bawah AsTEN, iaitu sebuah entiti yang bersekutu dengan ASEAN.
Pencapaian gemilang ini merupakan kesinambungan dan kemuncak kepada perjalanan yang telah dirintis sejak tahun 2024, apabila program ini mencipta sejarah sebagai program perguruan pertama dalam kalangan anggota AsTEN yang memperoleh akreditasi ATQA.
Ra’es KUPU SB, Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad menyembahkan perkara itu dalam sembah alu-aluannya pada Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-16 yang berlangsung pagi tadi di Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam, di sini.
Daripada asas tersebut sembahnya, seluruh warga KUPU SB telah terus berusaha dengan penuh kesungguhan, ketekunan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memperkasa mutu kurikulum, sistem penyampaian pengajaran dan pembelajaran serta tadbir urus jaminan kualiti. Hasilnya, program ini kini berdiri teguh dengan pengiktirafan penuh di peringkat serantau."Akreditasi Penuh merupakan bukti nyata bahawa program perguruan ugama kita telah mencapai tahap kemantapan dan kematangan yang setanding dengan piawaian serantau. Pencapaian ini juga selaras dengan hasrat negara untuk melahirkan guru-guru ugama yang berwibawa, berkualiti dan berdaya saing,” sembah Ra’es KUPU SB.
Bagi meneruskan momentum kejayaan ini, sembahnya lagi, KUPU SB telah menaik taraf Unit Pengurusan Strategik dan Jaminan Kualiti menjadi Pusat Pengurusan Strategik dan Kecemerlangan Universiti bermula pada 1 Oktober 2026. Melalui tiga unitnya, iaitu Unit Strategik, Unit Jaminan Kualiti dan Unit Pengiktirafan, pusat ini akan menjadi peneraju agenda keterlihatan dan pengiktirafan KUPU SB di peringkat antarabangsa.Namun sembah Ra’es KUPU SB, perlu ditegaskan bahawa KUPU SB bukan mengejar ranking semata-mata. Yang lebih utama ialah memastikan setiap aktiviti dan inisiatif strategik KUPU SB adalah berpaksikan piawaian universiti bertaraf antarabangsa, agar KUPU SB tidak ketinggalan dalam arus perkembangan pendidikan tinggi global. Kriteria yang ditetapkan oleh badan-badan pengiktirafan akan dijadikan penanda aras bagi memperkasa kualiti KUPU SB secara menyeluruh.
“Kriteria ini merangkumi penyelidikan dan penerbitan, jaringan kerjasama, kebolehpasaran dan kebolehkerjaan graduan, khidmat masyarakat serta kelestarian. Pusat ini juga akan memastikan setiap keputusan dipandu oleh data dan setiap urusan pentadbiran dilaksanakan secara tersusun melalui sistem jaminan kualiti yang mantap,” sembah Ra’es KUPU SB.
Di samping itu, Ra’es KUPU SB juga menyembahkan, sejajar dengan usaha memperkukuhkan program pengajian agar kekal relevan dengan keperluan semasa. Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, KUPU SB telah memperkenalkan Minor Kewangan Islam Kontemporari bagi Program Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Islam).
Sembah Ra’es KUPU SB, minor ini mula ditawarkan pada Semester I, Sesi Pengajian 2026 / 2027, dengan matlamat memberikan pendedahan asas yang kukuh mengenai prinsip dan instrumen kewangan Islam kontemporari, merangkumi bidang pelaburan dan pasaran modal Islam, takaful dan pengurusan risiko serta ‘fintech’ dan inovasi kewangan Islam.
“Adalah diharapkan usaha ini dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja berkemahiran dalam bidang perguruan ugama, malah turut mempunyai kepakaran dalam bidang kewangan Islam, seterusnya meningkatkan kebolehpasaran graduan KUPU SB dalam industri kewangan Islam yang kian berkembang pesat di peringkat serantau dan antarabangsa,” sembahnya lagi.
Ra'es KUPU SB seterusnya menyembahkan bermula Sesi 2026 / 2027, Fakulti Usuluddin KUPU SB telah memperkenalkan Program Diploma Tahap 5 Tafaqquh Usuluddin, sebuah program baharu yang bertujuan untuk membuka ruang pembelajaran ilmu-ilmu asas ugama seperti Akidah, Tafsir, Hadis, Tasawuf dan Dakwah kepada masyarakat umum, khususnya golongan matang berusia 40 tahun ke atas.
Program yang dijalankan secara separuh masa sembahnya, selama empat semester ini, sejajar dengan hasrat untuk memupuk pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning) dan membentuk masyarakat yang berilmu, bertakwa dan berakhlak mulia, selaras dengan konsep Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai Negara Zikir.Selain itu, dalam sembah Ra’es KUPU SB, bagi menanai titah Kebawah DYMM dalam Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-15, supaya KUPU SB menjadi benteng pertahanan terhadap pelbagai aliran pemikiran yang menyeleweng daripada ajaran Islam, KUPU SB terus komited memperkukuhkan kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah dalam kalangan pelajar dan masyarakat menerusi pelbagai inisiatif.
“Antaranya adalah dengan menjadikan kursus-kursus kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah sebagai sebahagian daripada kursus wajib universiti dalam program pengajian akademik KUPU SB dan menawarkan beberapa minor dalam bidang pengajian Ahli Sunnah Waljamaah, iaitu Minor Aqidah Ahli Sunnah Waljamaah, Minor Fiqh Ahli Sunnah Waljamaah dan Minor Akhlak dan Tasawuf Ahli Sunnah Waljamaah, di samping memperkukuh peranan Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah sebagai pusat rujukan dan penyebaran kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah melalui jaringan kerjasama strategik serta penglibatan berterusan bersama masyarakat,” sembah Ra’es KUPU SB.
Inisiatif itu sembahnya, diterjemahkan melalui penganjuran pelbagai program berkala seperti Seminar Antarabangsa Kefahaman Aqidah dan Pemikiran Semasa Kali Ke-3, 2026 (SAKAPES 3, 2026), Persidangan Antarabangsa Pemikiran Islam Kali Ke-4 (PEMIKIR 4, 2025), Kuliah Bulanan Ahli Sunnah Waljamaah, Nadwah Pengukuhan Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah dan Jerayawara Penghayatan Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah di pelbagai daerah.
Usaha ini, sembahnya lagi, turut diperluas melalui penganjuran Mu'tamar Antarabangsa Fiqh al-Usrah (MuAFiq 25/26), Program Dakwah Melalui Tadabbur Al-Quran dan Al-Hadith serta Program Pendidikan Syariah 3.0.
Secara keseluruhannya, program-program ini berperanan mengukuhkan kefahaman ugama yang sahih sekali gus menjadi benteng masyarakat daripada sebarang serangan pemikiran dan ideologi baharu yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.
“Sejajar dengan komitmen KUPU SB dalam memelihara, memperkasa dan mendaulatkan tulisan Jawi sebagai salah satu identiti penting NBD, sukacita hamba Kebawah Duli Tuan Patik menyembahkan bahawa Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath KUPU SB telah menganjurkan Muzakarah Mendaulatkan Tulisan Jawi di NBD pada 16 Muharam 1448 Hijrah bersamaan 2 Julai 2026 Masihi yang lalu.
“Muzakarah ini menjadi wadah perbincangan ilmiah bagi meneliti isu, cabaran dan hala tuju pemerkasaan tulisan Jawi secara bersama, terancang dan berkesinambungan,” sembahnya lagi.
Bermula pada Sesi 2026 / 2027 sembahnya, KUPU SB turut memperkenalkan Program Penilaian Penguasaan Tulisan Jawi (PPPTJ) khusus bagi pelajar baharu, sebagai mekanisme penilaian awal untuk mengenal pasti tahap penguasaan tulisan Jawi dalam kalangan pelajar sebelum mereka mengikuti pengajian di KUPU SB, seterusnya melahirkan graduan yang mampu menguasai dan mengaplikasikan tulisan Jawi dengan baik dalam pembelajaran, penyelidikan mahupun bidang profesional.
Selain itu beliau juga menyembahkan, tahun 2026 mencatatkan satu lagi perkembangan penting apabila KUPU SB memulakan pengambilan pertama pelajar bagi program Ijazah Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Jawi dan Kitab Turath, sekali gus merealisasikan hasrat yang disembahkan dalam Majlis Konvokesyen Ke-15 tahun lalu untuk mengangkat pengajian Jawi dan Kitab Turath ke peringkat pendidikan tinggi dan penyelidikan lanjutan.
Melaluinya, bidang Jawi dan Kitab Turath Melayu Jawi bukan lagi sekadar dilihat sebagai kemahiran menulis dan membaca, tetapi telah dikembangkan sebagai suatu disiplin ilmu yang mempunyai ruang penyelidikan, pengembangan keilmuan dan penerbitan akademik.
“Usaha KUPU SB bagi penambahbaikan berterusan sistem pengurusan dan perkhidmatan akademiknya telah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Pusat Pengajian Siswazah KUPU SB dianugerahkan Gold Medal (Professional) menerusi projek Transformasi Digital : Sistem Pengajian Siswazah Bersepadu (SPSB) dalam International Conference on Teaching and Education (ICTE2026) Digital Innovation Competition. Pembangunan SPSB sebagai platform digital bersepadu bertujuan memperkukuhkan pengurusan pengajian siswazah melalui pendigitalan pengurusan akademik,” sembah Ra’es KUPU SB.Pengiktirafan itu sembahnya, wajar menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga KUPU SB untuk terus mempergiatkan usaha penambahbaikan tadbir urus melalui inovasi.Secara keseluruhan, semua usaha dan inisiatif yang telah dilakukan adalah sejajar dengan visi, misi dan objektif KUPU SB, dan berdasarkan amalan terbaik serta garis panduan yang lazim digunakan dalam sistem pendidikan tinggi. Dengan peningkatan yang berterusan, semoga KUPU SB akan mencapai statusnya menjadi sebuah universiti penuh pada suatu hari nanti.