Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
TUTONG, Khamis, 22 Oktober. – Persatuan Kenderaan Pacuan 4 Roda Daerah Tutong akan menyertai acara berprestij 34th Borneo Safari International Offroad Challenge 2026, yang akan berlangsung dari 25 Oktober hingga 1 November 2026 di Sabah, Malaysia.
Sehubungan itu, Majlis Pelepasan Rombongan Negara Brunei Darussalam (NBD) dan juga Kuching Sarawak yang menyertai acara berkenaan telah diadakan pagi tadi bertempat di hadapan kawasan Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan sesi pelepasan berkenaan, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Kenderaan Pacuan 4 Roda Daerah Tutong, Awang Sha'ari bin Haji Zunaidi; Setiausaha Jabatan Bandaran Tutong, Pengiran Mahdini bin Pengiran Haji Ali; dan ahli-ahli jawatankuasa persatuan.
Dalam penyertaan 34th Borneo Safari International Offroad Challenge 2026 berkenaan, seramai tujuh peserta mewakili Persatuan Kenderaan Pacuan 4 Roda Daerah Tutong dan sekali gus NBD, dengan menggunakan tiga buah kenderaan pacuan empat roda. Rombongan berkenaan diketuai oleh Awang Sha'ari.
Dalam pada itu, pihak persatuan juga menjemput rombongan dari Sarawak 4X4 Travel and Adventure Club (SAKTA) dari Kuching, Sarawak, Malaysia untuk sama-sama menyertai acara berkenaan. Sebanyak lima buah kenderaan yang diketuai oleh Presiden SAKTA, Jirram anak Gima.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Awang Sahibul Omar bin Haji Yusof, dan diteruskan dengan penyerahan bendera NBD oleh tetamu kehormat kepada Yang Dipertua Persatuan Kenderaan Pacuan 4 Roda Daerah Tutong.
Majlis diikuti dengan sesi penyerahan cenderamata kepada tetamu kehormat majlis yang disampaikan oleh Presiden SAKTA. Kemudian, tetamu kehormat majlis diperkenalkan kepada semua peserta dari NBD dan SAKTA.
Kemuncak majlis kemudiannya menyaksikan sesi pelepasan para peserta yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Acara 34th Borneo Safari International Offroad Challenge 2026 berkenaan merupakan antara acara 4x4 ekstrem yang ikonik dan berprestij di rantau Borneo, serta telah menjadi salah satu acara yang dinanti-nantikan oleh para peminat sukan pacuan empat roda.
Pengembaraan berkenaan menggabungkan cabaran, kemahiran, ketahanan dan semangat setiakawan dalam menempuh pelbagai bentuk muka bumi, termasuk sungai, hutan hujan serta laluan lasak.
Sebanyak 650 buah kenderaan pacuan empat roda bakal berkumpul dan menyertai acara pengembaraan yang luar biasa di bumi Borneo berkenaan.
Kapsyen Gambar:
1 – Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan sesi pelepasan tersebut bertempat di hadapan kawasan Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong pagi tadi
2 & 3 – Kenangan bergambar ramai semasa berlangsungnya majlis pelepasan rombongan Negara Brunei Darussalam dan Kuching Sarawak yang akan menyertai 34th Borneo Safari International Offroad Challenge 2026
4 & 5 – Semasa sesi penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam oleh tetamu kehormat kepada Yang Di-Pertua Persatuan Kenderaan Pacuan 4 Roda Daerah Tutong.
6 – Majlis diikuti lagi dengan sesi penyerahan cenderahati kepada tetamu kehormat yang disampaikan oleh Presiden SAKTA.
7 & 8 – Persatuan Kenderaan Pacuan 4 Roda Daerah Tutong akan menyertai acara berprestij 34th Borneo Safari International Offroad Challenge 2026, yang akan berlangsung dari 25 Oktober hingga 1 November 2026 di Sabah, Malaysia.