Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 22 Oktober. - Dalam usaha memantapkan persediaan pelajar sebelum menghadapi Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) serta meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan, Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama Kawasan Brunei I telah menganjurkan Program An-Najah berbentuk Pertandingan Kuiz bertemakan Cergas, Cerdas dan Pantas.
Pertandingan Peringkat Akhir Kuiz berkenaan berlangsung di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Masna melibatkan empat buah pasukan terbaik yang berjaya mara daripada peringkat saringan.
Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Ketua Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Azman bin Haji Jaya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Sural Al-Fatihah, diikuti ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama Kawasan Brunei I, Awang Mohammad Halidi bin Awang Haji Besar.
Majlis diteruskan dengan pertandingan kuiz dan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan oleh tetamu khas majlis, sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Penganjuran program ini menjadi wadah untuk memperkukuh penguasaan ilmu ugama, mengasah keupayaan berfikir secara pantas dan tepat serta meningkatkan keyakinan pelajar dalam menghadapi Peperiksaan SSSRU akan datang.