KUPU SB perkukuh kerjasama pendidikan di peringkat serantau, antarabangsa

23 Okt 2026 - 6:38am

Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 22 Oktober. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) hari ini telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan lima institusi pendidikan luar negara sempena Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-16 Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Ra'es KUPU SB, Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad, yang seterusnya menandatangani MoU bagi pihak KUPU SB.

Lima institusi pendidikan yang terlibat ialah Universiti Geomatika Malaysia; Universitas Sunan Drajat Lamongan, Republik Indonesia; Universitas Islam Bunga Bangsa Cirebon, Republik Indonesia; Universitas PTIQ Jakarta, Republik Indonesia; dan Sekolah Tinggi Agama Islam Darul Kamal Nahdlatul Wathan Kembang Kerang, Republik Indonesia.

Penandatanganan MoU berkenaan merupakan salah satu inisiatif KUPU SB dalam memperkukuh kerjasama serta memperluas perkongsian pengalaman dan amalan terbaik bersama agensi dan institusi pendidikan di peringkat serantau dan antarabangsa.

Kerjasama berkenaan merangkumi pertukaran pelajar dan kakitangan, pertukaran penerbitan, pelaksanaan program penyelidikan bersama, kerjasama dalam bidang pengajaran serta bidang-bidang lain yang memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Melalui pemeteraian MoU berkenaan, KUPU SB diharap akan dapat terus memperluas jaringan kerjasama akademik antarabangsa, sekali gus membuka lebih banyak peluang bagi pembangunan pendidikan, penyelidikan dan perkongsian ilmu antara institusi yang terlibat.