UNISSA sertai Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara Ke-20

31 Jul 2026 - 6:46am

Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali

SABAH, Khamis, 30 Julai. - Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara Ke-20 telah diadakan di Hilton Hotel, Kinabalu Sabah pada 21 hingga 22 Julai 2026.

Dengan membawakan tema, ‘Memperkasa Pematuhan Syariah dalam Sistem Kewangan Islam’, muzakarah tahunan tersebut menghimpunkan para ulama, penasihat syariah, cendekiawan Islam serta pengamal kewangan dari Negara Brunei Darussalam (NBD), Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand dengan pelbagai topik terkini di dalam Industri Kewangan Islam.

Antara topik yang dibincangkan adalah mengenai hajah dan ‘darurah’ dalam konteks ‘al-i’anah ala al-ma’siyah’ dan juga parameter-parameter yang berkaitan. Pembentangan selari juga diadakan dengan fokus kepada ‘ghalat' di dalam industri kewangan Islam dan Takaful.

Hadir selaku pembentang daripada NBD ialah Penolong Profesor di Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr. Amnisuhailah binti Abarahan, yang turut mengongsikan kertas kerja mengenai ’ghalat' di dalam takaful dan ‘retakaful’.

Masterclass juga diberikan oleh pakar-pakar kewangan Islam sebelum muzakarah berlangsung yang membincangkan mengenai rektifikasi dan purifikasi di dalam kewangan Islam.