UNISSA adakan Sambutan Hari Buku Sedunia 2026

14 Jul 2026 - 10:32am

Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali

GADONG, Isnin, 13 Julai. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Maktabah UNISSA, Kampus Gadong menyambut Hari Buku Sedunia 2026 selama lima hari bermula 11 Julai hingga 18 Julai 2026.

Penganjuran ini ialah sempena menyahut sokongan United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) yang telah mengisytiharkan tarikh 23 April sebagai Hari Buku Sedunia.

Majlis pelancaran Sambutan Hari Buku Sedunia 2026 telah diadakan pada 11 Julai 2026 bertempat di Maktabah UNISSA, Kampus Gadong. Majlis ini disempurnakan oleh Pemangku Rektor UNISSA, Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad.

Sambutan Hari Buku 2026 peringkat UNISSA ini merupakan salah satu acara tahunan dan merupakan anjuran bersama Perpustakaan, Pusat Penyelidikan dan Penerbitan dan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UNISSA. Pelbagai pengisian telah dirancang untuk menyemarakkan lagi Sambutan Hari Buku pada tahun ini.

Majlis diisi dengan sesi 'bincang-bincang buku' bertajuk 'Kaedah Kelestarian Alam Menurut Islam Ke Arah Pemerkasaan Pembangunan Mampan' yang disampaikan oleh penulis Pengarah Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi'i dan Penolong Profesor Kanan Fakulti Syariah, UNISSA, Dr. Dayang Hajah Mas Nooraini binti Haji Mohiddin.

Pada tahun ini, penghargaan turut diberikan kepada seorang Best Academician Patron dan seorang Best Student Patron atas pencapaian sebagai peminjam buku terbanyak di Maktabah UNISSA, Kampus Gadong. Turut diraikan ialah para pewakaf buku perpustakaan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan yang diberikan.

Majlis juga diteruskan dengan pelancaran Khadra Recycle Corner & Khadra Reading Corner. Perkataan Khadra diambil daripada Bahasa Arab Khadra, yang bermaksud hijau, kehijauan atau yang menghijau. Nama Khadra dipilih kerana ia melambangkan nilai-nilai kelestarian, keseimbangan dan pembaharuan yang sejajar dengan usaha memupuk Minda Lestari dalam kalangan warga UNISSA.

Antara aktiviti lain yang akan diadakan sempena Hari Buku Sedunia 2026 ialah Wakaf Yaa Siin, Membaca Tahlil dan Kempen Membersihkan Tanah Perkuburan Islam Liau Besar Kampung Katimahar, Literasi Maklumat Media Sosial Warga Emas (Instagram), Maktabah Earth Hour, Ummah Reads dan Penyerahan Buku Wakaf ke Pusat Tingkatan Enam Sengkurong.

Inisiatif penganjuran program ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya dalam aspek Pendidikan Berkualiti (SDG4), Bandar dan Komuniti Mampan (SDG11), Konsumsi dan Produksi yang Bertanggungjawab (SDG12) dan Penanganan Perubahan Iklim (SDG13) yang bertujuan untuk memupuk budaya kelestarian alam sekali gus budaya membaca di dalam diri setiap warga UNISSA.