Transformasi penyelarasan lipat gandakan impak signifikan

4 Og 2026 - 8:53am

Oleh : Muhammad Zulkamal Awang Haji KamisFoto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Kita seharusnya mendengar dan memantuni apa jua keluhan, pandangan dan tidak boleh mengabaikan atau menafikan peranan sektor swasta selaku ‘engine of growth’, begitu juga suara dan maklum balas daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan masyarakat di negara ini.

Tatacara sedemikian ini berupaya merungkai dan seterusnya mengatasi masalah yang mereka hadapi di samping mendapatkan pandangan yang konstruktif lagi produktif.

Penglibatan ketiga-tiga sektor ini mampu bertindak sebagai ‘value added’ yang akan membantu mengukuh-kuatkan lagi keberkesanan penyelarasan dari pendekatan Whole of Government kepada melangkaui keseluruhan ‘stakeholders’ Whole of Nation Approach (pihak kerajaan, swasta, NGO dan masyarakat) di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Dengan wujudnya pendekatan transformasi penyelarasan dan keseragaman yang holistik dan berkesan, insyaaAllah limpahannya akan melipat gandakan impak yang signifikan bukan sahaja ‘spin off’ dan ‘multiplier economic effect’ malahan ‘value chain’ (rantaian nilai) dalam pelbagai aktiviti perekonomian dan perniagaan negara.

Ini sudah setentunya, melonjakkan lagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menjana lebih banyak pelbagai peluang pekerjaan, meningkatkan tenaga manusia berkemahiran dan profesional, memperkukuhkan keyakinan pelabur, mewujudkan pelbagai ‘high-tech value added’ produk dan industri hiliran.

Demikian antara yang diujarkan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof dalam perbahasan bagi usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22, MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang diadakan di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Seterusnya, ujar Yang Berhormat, dengan pencapaian kemantapan kemajuan sosioekonomi, insyaaAllah mampu menangani masalah sosial seperti pengangguran dan kemiskinan di samping meningkatkan kualiti kesejahteraan dan kebajikan rakyat dan penduduk.

Apa yang juga ingin ditimbulkan, jelas Yang Berhormat, yang sering menjadi kegusaran dan ketidaksenangan hati dalam kalangan masyarakat berhubung kait dengan pengangguran yang ada kaitannya dengan penyelarasan dasar sosial dan tenaga manusia.

Dengan merujuk kepada Laporan Labour Force Survey 2025 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), menunjukkan peningkatan jumlah pengangguran daripada 10,900 (4.7 peratus) pada tahun 2024 kepada 11,600 (5.0 peratus) pada 2025.

Yang Berhormat mengalu-alukan pelbagai agensi berkepentingan bukan sahaja di pihak kerajaan malahan melibatkan pihak industri dan sektor swasta secara bersepadu telah mengambil langkah lebih komprehensif dan memperkukuhkan strategi-strategi yang lebih terarah dalam menangani isu pengangguran.

Antara lainnya seperti penubuhan Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan, Manpower Industry Steering Committee (MISC) dan juga kajian dan penyelidikan yang dilaksanakan oleh Pusat Pengajian Strategik dan Dasar (CSPS), Jabatan Perdana Menteri. Begitu juga Kementerian Pendidikan, yang melaksanakan pelbagai inisiatif dan strategi untuk menanganinya.

“Kaola berpendapat, dalam menangani isu pengangguran yang berkaitan rapat dengan pekerjaan, industri, tenaga manusia serta pendidikan yang merentasi pelbagai agensi berkepentingan khususnya pihak kerajaan, industri, pihak swasta dan lain-lain agensi yang berkepentingan.

“Bagi mengelakkan duplikasi atau tugas yang bertindih-tindih supaya lebih fokus serta memastikan keberkesanan menangani isu pengangguran, ada baiknya di’review’ dan dikemas kini fungsi dan peranan agensi-agensi yang relevan serta pelbagai jawatankuasa yang diwujudkan untuk diselaraskan dan disejajarkan dasar pendidikan, latihan dan tenaga manusia, bagi memastikan sehaluan dengan strategik perancangan tenaga manusia ke arah keberkesanan mencapai objektif Manpower Blueprint selari dengan Wawasan Brunei 2035,” ujar Yang Berhormat.