Tingkatkan pengetahuan, kemahiran pengurusan jenazah

21 Jul 2026 - 8:25am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Hal Ehwal Masjid

TUTONG, Isnin, 20 Julai. - Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kiudang telah mengadakan Kursus Kifayah bagi Ahli Jawatankuasa Takmir, Jemaah dan Muslimah Masjid-masjid Daerah Tutong.

Acara berlangsung di masjid berkenaan. Penganjuran kursus ini merupakan antara program tahunan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong dan salah satu aktiviti Takmir Masjid berkenaan adalah bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masyarakat dalam pengurusan jenazah mengikut syariat Islam.

Di samping itu, kursus ini juga berperanan mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli jawatankuasa takmir, jemaah dan muslimah masjid, memupuk semangat keislaman serta terus mengimarahkan institusi masjid sebagai pusat ilmu dan kemasyarakatan. Kursus tersebut disertai oleh Ahli Jawatankuasa Takmir, jemaah dan kumpulan muslimah dari masjid-masjid seluruh Daerah Tutong.

Para peserta didedahkan dengan teori dan amali pengurusan jenazah meliputi kaedah memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan serta pengurusan pengebumian menurut hukum syarak.

Majlis penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Aidil Sufian bin Mohd. Yassin selaku tetamu khas majlis.

Melalui penganjuran kursus ini, diharapkan lebih ramai ahli masyarakat mempunyai pengetahuan dan keyakinan untuk melaksanakan fardu kifayah dengan sempurna, sekali gus memperkukuhkan peranan masjid sebagai pusat pendidikan, dakwah dan khidmat kepada masyarakat.