Tingkatkan keupayaan institusi negara hadapi perubahan kompleks

12 Og 2026 - 7:57am

Oleh : Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji Ali

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Azmah Haji Ahad

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. - Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat menjunjung kasih setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, atas limpah perkenan baginda, memperkenan MMN terus bersidang sebagai medan untuk membahaskan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara.

Kepercayaan yang terus diberikan oleh baginda kepada majlis ini jelas Yang Berhormat, merupakan satu amanah yang besar kepada Ahli-ahli MMN untuk terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab demi kesejahteraan negara.

“Dalam meneliti keseluruhan perjalanan persidangan pada musim ini, kaola melihat bahawa perbahasan yang berlangsung telah memperlihatkan satu perkembangan yang amat memberangsangkan.

“Perbincangan di dewan ini tidak lagi hanya tertumpu kepada mengenal pasti sesuatu isu atau cabaran semasa, tetapi semakin memberi penekanan kepada bagaimana institusi, dasar dan sistem negara dapat diperkukuhkan, supaya mampu memenuhi keperluan rakyat secara lebih berkesan pada masa hadapan,” ujar Yang Berhormat semasa menyampaikan ucapan usul perbahasan pada hari keenam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.

Menurut Yang Berhormat, daripada perbahasan mengenai kesejahteraan warga emas, penyertaan pendidikan, daya tahan sistem digital kerajaan, penyelarasan ke arah Wawasan Brunei 2035 sehinggalah kepada pengukuhan majlis melalui penggubalan Kod Etika Ahli MMN.

Kesemuanya sebenarnya tambah Yang berhormat, membawa satu mesej yang sama, iaitu keperluan untuk memperkukuhkan keupayaan institusi negara, agar sentiasa bersedia menghadapi perubahan yang semakin kompleks.

Pada pandangan Yang Berhormat, inilah satu petanda bahawa budaya perbahasan di majlis ini semakin berkembang ke arah yang lebih strategik dan berpandangan jauh.

Yang Berhormat juga melihat bahawa beberapa isu yang dibincangkan sepanjang persidangan ini sebenarnya memberi gambaran tentang cabaran-cabaran yang akan semakin mempengaruhi pembangunan negara pada tahun-tahun yang akan datang.

“Perubahan struktur penduduk, perkembangan teknologi dan Kecerdasan Buatan (AI), keperluan untuk memperkukuhkan modal insan, peningkatan jangkaan rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan awam serta keperluan memperkukuhkan daya saing ekonomi, bukan lagi isu yang boleh ditangani secara berasingan. Kesemua ini saling berkait dan memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam perancangan perlaksanaannya.

“Oleh itu, pembangunan negara pada masa hadapan, akan banyak bergantung kepada keupayaan institusi untuk melihat merentas sesuatu cabaran sektor, secara membuat pertimbangan secara lebih awal dan bertindak dengan lebih pantas, apabila perubahan berlaku,” tekan Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya berkata, satu lagi perkara yang menarik perhatian kaola ialah semakin banyak perbahasan pada musim ini memberi penekanan kepada daya tahan institusi.

Kita tidak lagi hanya membincangkan bagaimana sesuatu sistem dapat berfungsi dengan baik ketika keadaan berjalan seperti biasa, tetapi bagaimana sistem tersebut mampu terus memberikan perkhidmatan, apabila berhadapan dengan gangguan, perubahan ataupun cabaran yang tidak dijangka jelas Yang Berhormat.

Begitu juga tambah Yang Berhormat dalam aspek kebajikan masyarakat, pendidikan, pendigitalan mahupun penyelarasan pembangunan negara. Apa yang semakin jelas ialah negara memerlukan institusi yang bukan sahaja cekap melaksanakan tanggungjawabnya, tetapi mempunyai keupayaan untuk terus menyesuaikan diri mengikut perubahan persekitaran.

Yang Berhormat juga berpandangan apabila Wawasan Brunei kini memasuki fasa pelaksanaan yang semakin mencabar, kejayaan negara tidak lagi hanya bergantung kepada banyaknya dasar, inisiatif atau disediakan. Apa yang lebih penting ialah sejauh mana setiap usaha tersebut dapat diterjemahkan kepada hasil yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Dalam hubungan ini tegas Yang Berhormat, tindakan susulan terhadap perkara-perkara yang telah dibahaskan di dewan ini amatlah penting, pertanyaan, cadangan dan pandangan yang telah dikemukakan sepanjang persidangan ini merupakan satu khazanah pemikiran yang sangat bernilai. Ia mencerminkan pengalaman di lapangan, keperluan rakyat serta pandangan daripada pelbagai sektor.

Justeru, Yang Berhormat berharap segala perkara yang telah dibahaskan akan terus menjadi sebahagian daripada proses penambahbaikan yang berterusan supaya setiap musim persidangan bukan sahaja menjadi ruang untuk membincangkan isu, tetapi turut menjadi penanda aras kepada kemajuan yang telah dicapai sejak persidangan yang lalu.

“Budaya inilah yang akan terus memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap keberkesanan MMN sebagai sebuah institusi yang sentiasa berkembang, seiring dengan keperluan negara.

“Dalam hubungan ini, kaola juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan terhadap usaha-usaha di peringkat akar umbi yang terus menghidupkan kawasan kampung dan membuka peluang kepada masyarakat setempat,” kata Yang Berhormat.

Kongsi Yang Berhormat, antaranya ialah usaha Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Jerudong ‘B’, dalam mengembangkan kawasan Pantai Siandang sebagai tempat riadah dan kegiatan masyarakat, di samping membuka ruang kepada aktiviti perekonomian setempat.

Yang Berhormat amat menghargai, usaha seperti ini kerana ia melihatkan bagaimana inisiatif masyarakat dengan sokongan pihak-pihak berkaitan boleh memberi manfaat secara langsung kepada penduduk dan pada masa yang sama, mengetengahkan tarikan yang terdapat di kampung kita.

Yang Berhormat juga berharap usaha seperti ini terus mendapat sambutan dan sokongan bukan sahaja masyarakat setempat tetapi juga orang ramai supaya kawasan-kawasan seperti ini akan terus berkembang sebagai tempat riadah, kegiatan masyarakat dan perekonomian yang memberi manfaat kepada kampung dan penduduk sekitarnya.