Tingkatkan kepekaan, kesedaran, kefahaman kepentingan bahasa Melayu

31 Jul 2026 - 7:30am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. IbrahimFoto : Azmah Haji Ahad

BERAKAS, Khamis, 30 Julai. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa telah mengadakan Tamu Bahasa, iaitu satu daripada inisiatif kegiatan kebahasaan dalam menggemakan Bulan Bahasa 2026 di Balai Sarmayuda DBP, Berakas, hari ini. Majlis turut disiarkan secara langsung melalui penstriman laman media sosial DBP.

Antara objektif Tamu Bahasa adalah untuk mendapatkan sokongan dan penglibatan pelbagai pihak dalam menyebarluaskan pengetahuan dan memantapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Selain itu, ia juga berobjektif untuk membincangkan isu semasa berkaitan bahasa Melayu, istilah baharu dan tulisan Jawi yang menjadi ciri identiti bangsa Melayu dan meningkatkan kepekaan, kesedaran serta kefahaman semua lapisan masyarakat terhadap kepentingan bahasa Melayu sebagai identiti bangsa Melayu.

Hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dan seterusnya menyampaikan cenderamata kepada pembicara eksekutif dan pengerusi.

Pemangku Pengarah DBP juga berbesar hati menerima sumbangan 10 naskhah buku bertajuk 'Scripting The Archipelago' daripada Qasrun Nafis Publishing House.

Pembentangan disampaikan oleh Dr. Awang Haji Md. Rozan bin Dato Paduka Haji Md. Yunos sebagai Pembicara Eksekutif dengan tajuk 'Ejaan Bersatu, Bahasa Berdiversiti : Memahami Perjanjian Ejaan 1972 dan Masa Depan Bahasa Melayu dari Perspektif Brunei'.

Pembicara Eksekutif merupakan Yang Dipertua Persatuan Sejarah Brunei. Manakala pengerusi pula ialah Pegawai Bahasa, DBP, Awang Raieham bin Mohd. Salleh.

Dalam pembentangan ini, Pembicara Eksekutif telah mengemukakan beberapa inti pati, antaranya ialah sejarah ejaan Rumi Melayu sebelum tahun 1972, iaitu daripada aksara Jawi kepada pelbagai sistem Rumi, perspektif Negara Brunei Darussalam (NBD) mengenai kedudukan istimewa tulisan Jawi dalam urusan adat istiadat, agama dan identiti kebangsaan yang menjadi teras kepada falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) dan juga sandaran kepada semua dasar bahasa yang membolehkan pengadaptasian ejaan Rumi Melayu 1972 secara selektif, tanpa kehilangan jati diri.

Pembicara Eksekutif juga mencadangkan beberapa perkara iaitu perlunya pengiktirafan rasmi tulisan Jawi, pendidikan sejarah ejaan di sekolah dan kerjasama serantau yang berasaskan kesaksamaan, di samping cadangan penggunaan slogan 'Ejaan Bersatu, Bahasa Berdiversiti' yang boleh digunakan sebagai sukat-sukat atau prinsip dasar bahasa Melayu di NBD.

Kira-kira 107 peserta hadir dan mengikuti Tamu Bahasa ini yang terdiri daripada para pegawai kerajaan, mahasiswa, pelajar, pencinta bahasa dan sastera, penulis, belia serta individu persendirian. Acara ini turut diselitkan dengan sesi tanya jawab bersama audiens yang hadir.