Oleh : Khartini Hamir
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Nurhafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman semasa membentangkan Usul Menyokong Penyelarasan ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035, merafakkan junjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas pelantikan sebagai Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Amanah ini jelas Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, akan dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab, keikhlasan dan komitmen, bagi memastikan setiap dasar dan usaha yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
Yang Berhormat juga melahirkan penghargaan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN) kerana diberikan peluang untuk turut serta membahaskan Usul Menyokong Penyelarasan ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 yang telah dibentangkan oleh Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof pada pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, pagi tadi.
“Kaola menyokong sepenuhnya Usul ini kerana pada hemat kaola, penyelarasan bukan lagi satu pilihan, tetapi suatu keperluan strategik bagi memastikan setiap dasar, perancangan dan tindakan kerajaan bergerak secara seiring ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
“Wawasan ini merupakan kompas pembangunan negara yang mencerminkan aspirasi untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, menikmati kualiti kehidupan yang tinggi serta menyokong sebuah ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan,” ujarnya.
Justeru jelas Yang Berhormat, penyelarasan hendaklah menjadi budaya kerja dan prinsip tadbir urus yang merentasi kementerian, agensi, sektor swasta serta masyarakat.
Kejayaan sesuatu dasar tidak lagi dinilai berdasarkan pencapaian setiap organisasi secara berasingan, tetapi melalui keupayaan semua pihak untuk berganding bahu menghasilkan impak yang nyata kepada rakyat.
Dari itu, ukuran sebenar kejayaan ialah sejauh mana dasar tersebut meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkukuh keberkesanan penyampaian perkhidmatan, serta menyelesaikan isu-isu negara secara bersepadu, cekap dan mampan.