Tetapkan garis kemiskinan terkini, kenal pasti cabaran, intervensi berkesan

6 Og 2026 - 4:54am

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani

Foto : Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. – Kemiskinan telah dikenal pasti sebagai salah satu cabaran kritikal dalam dasar sosial dan tenaga manusia.

Kerana itu, pembasmian kemiskinan atau kemiskinan sifar hendaklah menjadi hasil nasional utama untuk dicapai.

Perkara demikian dijelaskan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam semasa membahaskan Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Bagi memperkukuh pencapaian ini jelas Yang Berhormat, garis kemiskinan yang jelas dan terkini perlu ditetapkan sebagai asas untuk mengenalpasti tahap cabaran dan intervensi yang berkesan. Pendapatan semata-mata juga tidak boleh dijadikan ukuran kemiskinan yang tepat.

"Ia perlu mengambil kira aspek-aspek seperti perumahan, pendidikan, kesihatan, tanggungan keluarga dan akses kepada perkhidmatan asas. Punca peningkatan hendaklah dikaji secara menyeluruh supaya intervensi benar-benar menyediakan laluan keluar daripada kemiskinan," ujar Yang Berhormat.

Menurut Yang Berhormat, program bantuan yang dikendalikan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta perlu dinilai semula dan diselaraskan ke arah satu matlamat, iaitu keluarga keluar dari kemiskinan secara berkekalan. Bantuan kewangan mesti disertai dengan peluang meningkatkan pendapatan melalui pekerjaan, peningkatan kemahiran dan keusahawanan.

Jelas Yang Berhormat lagi, ukuran kejayaan tidak seharusnya pada jumlah penerima bantuan atau jumlah bantuan yang diagihkan tetapi pada peningkatan pendapatan isi rumah, bilangan keluarga yang berjaya keluar daripada kemiskinan dan keupayaan mereka untuk kekal di luar kemiskinan dalam jangka masa yang tertentu.

Terdahulu, Yang Berhormat menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih atas kebijaksanaan dan pandangan jauh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah mengambil langkah strategik melantik tiga Menteri Penyelaras dan beberapa menteri-menteri baharu ke dalam barisan Menteri-menteri Kabinet Negara.

Dalam tempoh kurang daripada satu dekad menuju Wawasan Brunei 2035 tambah Yang Berhormat, negara perlu meninggalkan pendekatan silo dan memperkukuh kerjasama serta penyelarasan merentas sektor. Usaha merealisasikan wawasan adalah tanggungjawab bersama.

Menurut Yang Berhormat, semua Menteri Kabinet sebagai pelaksana dasar, dengan disokong oleh Ahli MMN yang dilantik sebagai rakan strategik dan seluruh rakyat, melalui pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Nation dalam erti kata yang sebenar.

Sepertimana yang telah dibentangkan oleh rakan-rakan Ahli Yang Berhormat yang sebelum ini, Yang Berhormat juga berpendapat dan bersetuju bahawa penyelarasan perlu berfungsi sebagai satu sistem operasi negara, berorientasikan hasil nasional atau ‘national outcome’ merentas sektor dengan memperjelas peranan, pemilikan dan akauntibiliti setiap pihak, menangani halangan rentas kementerian serta mengukur pencapaian hasil secara berterusan.

Tambah Yang Berhormat, sistem ini hendaklah dipacu berasaskan beberapa proses utama termasuk membangunkan kerangka hasil nasional yang jelas dan bersepadu, mempercepat proses kelulusan dan pelaksanaan projek, memperkukuh pemadanan dan penempatan tenaga kerja, memberikan tumpuan utama kepada kualiti dan ketahanan serta mewujudkan satu National Wawasan Dashboard.

Dengan penyelarasan seluruh jentera kerajaan dan swasta tambah Yang Berhormat, setiap keluarga boleh menerima intervensi yang berkesan dan mempunyai laluan yang jelas untuk keluar daripada kemiskinan secara bermaruah dan dan berkekalan.

Merentas ketiga-tiga contoh hasil nasional ini tambah Yang Berhormat lagi, satu papan pemuka wawasan nasional perlu diwujudkan sebagai platform pemantauan pelaksanaan dan pelaporan bagi kemajuan, halangan dan keputusan ke arah pencapaian wawasan.

Menurut Yang Berhormat, Key Performance Indicator (KPI) utama hendaklah dipaparkan termasuk sasaran, pencapaian semasa, agensi peneraju dan tindakan pembetulan.

"Maklumat perlu dikemas kini dari semasa ke semasa dan dapat diakses oleh rakyat pada tahap yang bersesuaian. Dengan ini, kerajaan dapat mengenal pasti sasaran yang tertinggal dan mempercepat tindakan manakala rakyat pula dapat mengikuti perkembangannya.

"Ini akan memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti serta memastikan setiap kekurangan disertai dengan tindakan susulan untuk penambahbaikan," ujar Yang berhormat lagi.