Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani
Foto : Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. – Sekuriti makanan, ‘food security’ kekal sebagai fokus utama Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI).
Mengambil pengajaran daripada pengalaman dalam menghadapi krisis COVID-19, kementerian secara berterusan mengambil langkah-langkah proaktif bagi meminimumkan gangguan terhadap rantaian bekalan makanan negara dalam memastikan sekuriti makanan terus terjamin.
Perkara demikian dijelaskan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin semasa menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin mengenai mengintegrasikan komunikasi risiko, kesiapsiagaan masyarakat dan keyakinan awam dalam dasar serta mekanisme tindak balas sekuriti makanan bagi memastikan masyarakat kekal berdaya tahan.
"Pelbagai usaha telah dan terus dilaksanakan menerusi pelbagai langkah, iaitu mengukuhkan nilai dan pemantauan data ketersediaan bekalan makanan termasuk penilaian awal terhadap peningkatan kos pengeluaran tempatan, harga baja dan juga makanan seperti beras, ayam, telur, daging dan sayur serta ikan," ujar Yang Berhormat pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Kedua menurut Yang Berhormat, ialah mengukuhkan ‘the whole value chain’ terutama bagi bekalan import pertanian dan perikanan seperti baja serta benih ikan dan udang, iaitu dengan mengekalkan stok keperluan baja bagi sekurang-kurangnya tiga bulan dan stok makanan ternakan ayam sekurang-kurangnya enam bulan.
Tambah Yang Berhormat, ketiga ialah mengukuhkan inisiatif eksport bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi eksport bukan sahaja bertujuan untuk memenuhi permintaan pasaran luar malah juga secara langsung membantu untuk mencapai lebih daripada tahap sara diri, sebagai contoh, bekalan telur masa ini bukan sahaja mencapai seratus peratus sara diri.
Yang keempat jelas Yang Berhormat lagi ialah bekerjasama dengan rentas kementerian, agensi dan pihak berkepentingan menerusi penubuhan Komuniti Kebangsaan Menangani Kesan Konflik Timur Tengah khususnya bagi mengkaji serta menangani kebolehtahanan, ‘resilience’, isu-isu geopolitik dan tenaga yang boleh memberi impak kepada ekosistem keterjaminan makanan.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan yang kelima ialah di peringkat antarabangsa pula, Negara Brunei Darussalam telah menandatangani penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Republik Singapura, iaitu MoU on Strengthening Trade and Investment Cooperation in Food and Medical Products.
Menurut Yang Berhormat, MoU ini bertujuan untuk memastikan kerjasama erat di antara kedua-dua buah negara dan keselamatan makanan dan bekalan produk perubatan jika negara berhadapan dengan krisis.
"Dalam hubungan ini, beberapa kumpulan kerja telah pun ditubuhkan, iaitu Working Group on Food Supply and Working Group on Medical Products yang keahliannya terdiri daripada pegawai-pegawai dari kedua buah negara bagi membincangkan usaha-usaha berterusan yang dapat dilaksanakan bersama.
"Pendekatan dan usaha-usaha yang ada ini adalah merupakan mekanisme utama dalam memastikan rantaian bekalan makanan di negara ini akan terjamin," ujar Yang Berhormat.
Berhubung dengan strategi komunikasi yang teratur adalah penting bagi bukan saja menjamin keyakinan masyarakat, malah juga membantu memperkukuhkan usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan makanan terjamin, Yang Berhormat menjelaskan, pihak kementerian dari semasa ke semasa memberikan penerangan dan seterusnya membuat perundingan berkenaan dengan strategi kerajaan yang ada pada masa ini bukan saja kepada masyarakat malah juga kepada ‘stakeholder’ penting seperti ‘food supplier importer’ dan juga ‘distributor for food’.
Menurut Yang Berhormat, kementerian ini juga mempunyai hubungan kerjasama rapat dengan pengusaha-pengusaha makanan, peniaga-peniaga di kedai runcit dan pengimport makanan asasi melalui interaksi yang berterusan dengan pihak pengusaha.
Tambah Yang Berhormat, peniaga ini bukan sahaja akan dapat membantu kementerian merangka intervensi yang diperlukan tapi juga membolehkan pihak swasta untuk sama-sama memastikan rantaian bekalan yang stabil dan mempelbagaikan sumber import dan mencari sumber alternatif yang lebih ‘cost effective’ sebagai ‘substitute’ kepada sumber import yang sedia ada.
Semasa COVID-19 jelas Yang Berhormat lagi, mereka mengadakan komunikasi secara berkala, terutamanya kepada ‘stakeholders’ yang memainkan peranan penting dalam bekalan makanan dan Alhamdulillah, disebabkan itu kita berjaya mendapat sumber alternatif yang lebih kompetitif dan juga yang lebih berkualiti.
Justeru tambah Yang Berhormat lagi, kementerian kekal komited untuk meneruskan langkah-langkah proaktif dan integrasi ini khususnya dalam meningkatkan hubungan serta kerjasama rapat terutamanya kepada pihak swasta demi sama-sama menjamin sekuriti makanan secara berterusan bagi melindungi kesejahteraan rakyat.