Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
GADONG, Selasa, 28 Julai. - Asia Asset Management (AAM), dengan kerjasama Brunei Institute of Leadership & Islamic Finance (BILIF) serta sokongan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah mengadakan ‘The 4th ASEAN Forum : The Future of Finance’ di The Rizqun International Hotel, di sini.
Forum yang bertemakan ‘Innovation, Integration and Growth in an Age of Transition’ itu bertujuan untuk menggalakkan dialog dalam kalangan penggubal dasar, pihak pengawal selia, pelabur institusi dan pemimpin industri bagi meneroka strategi pelaburan yang inovatif, peluang baharu dalam kewangan Islam dan kewangan digital, serta peranan pasaran awam dan swasta yang semakin berkembang.
Di samping itu, forum berkenaan turut menjadi platform untuk memperkukuhkan integrasi kewangan serantau, memperluaskan perkongsian pengetahuan dan kerjasama strategik dalam usaha menyokong ekosistem kewangan ASEAN yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan.
Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengasas dan Penerbit, AAM, Tan Lee Hock, yang menekankan bahawa dunia kini sedang melalui suatu era peralihan yang dipengaruhi oleh perubahan geopolitik, dinamik perdagangan dan pelaburan yang semakin berkembang, gangguan teknologi, cabaran alam sekitar serta perubahan keadaan pasaran.
Menurut beliau, faktor-faktor tersebut sedang membentuk semula strategi pelaburan, sistem pencen, rangka kerja kawal selia serta kemampanan kewangan jangka panjang dengan pertumbuhan pesat dan integrasi ASEAN meletakkan rantau ini di tengah-tengah transformasi tersebut.
Forum diteruskan dengan ucaptama yang disampaikan oleh Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah selaku tetamu kehormat majlis.
Dalam ucaptamanya, Yang Berhormat Menteri Kewangan II menekankan bahawa ukuran sebenar sektor kewangan bukanlah semata-mata pada kemakmuran yang dicipta pada hari ini, tetapi juga pada kemakmuran yang dapat dipelihara untuk masa hadapan.
Yang Berhormat turut menyatakan bahawa inovasi mencipta peluang, integrasi mewujudkan skala, manakala pertumbuhan membina daya tahan, dan menegaskan bahawa tanggungjawab kita adalah untuk memastikan ketiga-tiga elemen ini dapat terus diperkukuhkan demi generasi akan datang.
Menurut Yang Berhormat lagi, di Negara Brunei Darussalam, pemahaman ini terus membentuk pendekatan negara dalam membangunkan sektor kewangan. Ini termasuk menerima inovasi sambil memperkukuhkan kepercayaan, menggalakkan pertumbuhan sambil memelihara daya tahan serta membangunkan institusi yang mampu terus berkhidmat kepada negara untuk jangka panjang, meskipun teknologi pada masa kini terus berkembang dan berubah.
Yang Berhormat turut menjelaskan bahawa melalui inisiatif seperti Sustainable Finance Roadmap 2025-2030, FinTech Regulatory Sandbox dan TARUS, Negara Brunei Darussalam kekal komited untuk membangunkan sistem kewangan yang diyakini, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa hadapan.
Forum berkenaan turut menampilkan pelbagai pembentangan dan sesi perbincangan panel daripada para profesional dan pakar tempatan serta antarabangsa mengenai pelbagai topik utama, termasuk pengurusan dan penstrukturan portfolio yang berdaya tahan dalam landskap ekonomi global baharu; peningkatan penyatuan antara pasaran swasta dan pasaran awam; pemodenan model operasi daripada sistem yang berpecah kepada pendekatan yang lebih bersepadu; transformasi digital kewangan Islam di ASEAN; tinjauan makro ekonomi Jepun dan peluang-peluang baharu; prospek ekonomi ASEAN bagi tempoh 2027-2030 serta pemacu utama pertumbuhan; dan hala tuju pasaran modal ASEAN menjelang dekad akan datang.
Antara penceramah yang mengambil bahagian ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Baiduri Bank, Ti Eng Hui; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah bin Wan Ali; Pengarah Urusan, Head of Funds Selections, Bank of Singapore, Md. Yazid Mahadi; Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Hijra Group, Dima Djani; Pengarah Urusan Kanan, Ketua Pegawai Pelaburan (Active Global Investments), Nomura Asset Management, Yuji Maeda; serta Dr. Tan Chong Koay, Penasihat kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Affin Bank, serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Strategis, PHEIM Asset Management (Asia) Pte. Ltd., bersama beberapa penceramah lain dari dalam dan luar negara.
Forum diakhiri dengan ucapan penutup oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, BILIF, Afero Eswandy Mohamad. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa masa depan sektor kewangan tidak boleh dibentuk oleh sesebuah institusi, sesebuah negara atau satu idea sahaja. Sebaliknya, ia ditentukan dengan sejauh mana kita mampu bekerjasama serta bersedia untuk saling belajar antara satu sama lain.
Beliau turut menjelaskan bahawa BILIF sebagai sebuah pusat kecemerlangan bagi industri kewangan di negara ini, sentiasa giat menjalankan misinya untuk membentuk pemimpin, pakar dan pemacu inovasi masa depan terutamanya dalam bidang kewangan Islam dan kepimpinan melalui program dan acara bertaraf antarabangsa. Maklumat lanjut mengenai BILIF boleh didapati melalui laman sesawang BILIF di www.bilif.com.bn atau akaun Instagram @BILIF.bn.