Tangani isu rintangan antimikrobial melalui pendekatan terselaras

19 Nov 2026 - 6:56am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 November. - Ahli Jawatankuasa Rintangan Antimikrobial Brunei Darussalam (Brunei Darussalam Antimicrobial Resistance Committee - BDAMRC) dengan Kementerian Kesihatan sebagai pihak tuan rumah, telah mengadakan Bengkel Pemetaan Kebangsaan selama dua hari bagi Pembangunan Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai Rintangan Antimikrobial (National Action Plan on Antimicrobial Resistance - NAP-AMR) 2.0 pada 18 hingga 19 November 2026 bertempat di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), di sini.

Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr. Dayang Hajah Rafidah binti Haji Gharif dalam ucapan alu-aluannya berkata pada tahun ini, usaha-usaha kebangsaan kita dengan penuh penghargaan adalah selaras dengan tema kempen global iaitu ‘One Health, One Action : Prevent AMR Now’ (Satu Kesihatan, Satu Tindakan : Cegah Rintangan Antimikrobial Sekarang).

Tema ini terangnya, merupakan seruan yang memberi inspirasi kepada kita untuk bertindak serta mengingatkan bahawa dengan menggabungkan kekuatan dan kepakaran daripada semua sektor, kita mempunyai keupayaan bersama untuk menghasilkan impak yang berkekalan.

“Kehadiran kita pada hari ini membuktikan komitmen bersama dalam merealisasikan visi ini menjadi satu kejayaan kebangsaan yang nyata dan bersepadu. Seiring dengan pelancaran usaha merangka NAP-AMR 2.0, kita kini berdiri di atas asas kukuh yang telah dibina sepanjang kitaran pelaksanaan pertama.

“Penamatan Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai Rintangan Antimikrobial yang pertama telah memberikan kita pengalaman dan pengajaran yang amat bernilai. Ia telah membantu kita mengenal pasti dengan lebih jelas kekuatan yang dimiliki, bidang-bidang yang memerlukan pengukuhan dari segi struktur, serta ruang untuk meningkatkan lagi keberkesanan kerjasama antara sektor. Kita telah berjaya mencapai pelbagai pencapaian penting secara bersama,” jelasnya.

Dalam sektor Kesihatan Manusia tambah beliau, Negara Brunei Darussalam (NBD) telah mewujudkan kawalan kawal selia yang kukuh terhadap penggunaan antimikrobial dalam bidang kesihatan manusia serta berjaya memperluas keupayaan untuk mengintegrasikan teknologi terkini dalam pengawasan genomik.

Kita juga jelasnya, telah mengekalkan rekod prestasi yang cemerlang dalam pelaporan global berkaitan Rintangan Antimikrobial (Antimicrobial Resistance - AMR) dan Penggunaan atau Pengambilan Antimikrobial (Antimicrobial Usage/Consumption - AMU).

“Usaha Pencegahan dan Kawalan Infeksi (Infection Prevention and Control - IPC) turut memperlihatkan inisiatif yang paling ketara, melalui pelaksanaan usaha-usaha sistematik yang berterusan dan konsisten ke arah pembudayaan serta penerapan amalan tersebut di semua fasiliti kesihatan,” ujarnya.

Sementara itu terangnya, dalam sektor Kesihatan Haiwan, kawalan kawal selia telah diperkukuhkan, manakala inisiatif kesedaran dan pendidikan terus menjadi antara usaha utama dalam menangani isu rintangan antimikrobial. Aktiviti pengawasan juga semakin dipertingkatkan, merangkumi pemantauan di ladang-ladang, rumah penyembelihan serta makmal.

Menurut beliau lagi, usaha ini turut diperkukuhkan melalui sumbangan data kepada inisiatif global berkaitan AMR. NBD merupakan ahli aktif Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (World Organisation for Animal Health - WOAH) dan mengemukakan laporan setiap tahun kepada kedua-dua platform ANIMUSE dan TRUVET.

Kedua-dua platform ini masing-masing berperanan dalam pelaporan global mengenai penggunaan antimikrobial dalam haiwan serta pelaporan ubat-ubatan veterinar yang tidak memenuhi piawaian dan yang dipalsukan.

Apa yang paling membanggakan katanya ialah penyertaan sepenuhnya sektor alam sekitar dalam usaha bersama ini, sekali gus melengkapkan penyertaan keempat-empat sektor di bawah pendekatan Kuadripartit (Quadripartite) di negara ini. Perkembangan ini membuka ruang ke arah memperkukuh persefahaman bersama mengenai keunikan, kepakaran dan keupayaan setiap sektor.

Sehingga kini ujarnya, aktiviti kesedaran secara kolaboratif semasa Minggu Kesedaran Antimikrobial Sedunia (World AMR Awareness Week - WAAW) telah menjadi antara ciri utama pendekatan One Health (Kesihatan Sejagat) yang diterapkan oleh negara dalam menangani isu rintangan antimikrobial. Acara kemudiannya diteruskan dengan sesi bergambar ramai dan lawatan ke reruai pameran.

Bengkel ini menghimpunkan pihak-pihak berkepentingan utama daripada sektor kesihatan manusia, kesihatan haiwan, pertanian dan alam sekitar, termasuk wakil-wakil dari Kementerian Kesihatan (MOH), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), Kementerian Pembangunan, Pihak Berkuasa Makanan Brunei Darussalam (BDFA) serta Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Bengkel ini bertujuan untuk merangka hala tuju strategik NBD dalam menangani isu rintangan antimikrobial melalui pendekatan yang terselaras dan merentas pelbagai sektor.

Sepanjang dua hari bengkel berlangsung, para peserta meneliti pencapaian serta pengajaran yang diperoleh daripada pelaksanaan NAP-AMR 1.0, menyelaraskan keutamaan negara dengan Pelan Tindakan Global mengenai Rintangan Antimikrobial yang telah dikemas kini bagi tempoh 2026 hingga 2036, serta mengenal pasti jurang kritikal dalam setiap sektor.

Bengkel ini juga akan merangka objektif strategik, sasaran pelaksanaan serta kerangka pemantauan. Bengkel ini seterusnya akan diakhiri dengan pengesahan pelan hala tuju yang disatukan bagi memuktamadkan NAP-AMR 2.0.

Melalui pengukuhan tadbir urus pendekatan One Health (Kesihatan Sejagat) serta kerjasama merentas sektor, inisiatif ini menegaskan semula komitmen NBD dalam melindungi kesihatan awam, menjamin keselamatan makanan serta memelihara kelestarian alam sekitar daripada ancaman rintangan antimikrobial.