Lawatan akademik memperluas pengetahuan, pengalaman

19 Nov 2026 - 7:29am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi 

Foto : Ihsan Majlis Perundingan Kampung Kasat

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 November. - Penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang disertai seramai 35 orang meneruskan lagi pengisian Program Bright 2026 dan Program Keluarga Angkat bersama dengan Komuniti Kampung Kasat menerusi siri lawatan akademik ke beberapa institusi dan agensi di Negara Brunei Darussalam (NBD), hari ini.

Rombongan yang turut diiringi oleh Ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kasat itu berpeluang mendapatkan pendedahan secara langsung mengenai sistem pentadbiran, peranan institusi, landskap pendidikan serta kehidupan masyarakat di negara ini.

Rombongan berkesempatan membuat kunjungan hormat kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke NBD, Tuan Yang Terutama Datuk Mohd. Aini Atan. 

Kunjungan tersebut menjadi wadah bagi mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh persahabatan antara NBD dan Malaysia, khususnya dalam kalangan generasi muda kedua-dua negara.

Rombongan seterusnya mengadakan lawatan ke Jabatan Buruh bagi mendapatkan penerangan mengenai fungsi dan tanggungjawab jabatan berkenaan, terutama dalam aspek pengurusan hal ehwal tenaga kerja serta perlindungan dan kebajikan pekerja.

Lawatan diteruskan ke Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), yang memberikan peluang kepada para penuntut untuk mengenali dengan lebih dekat peranan institusi pengajian tinggi Islam di NBD, di samping bertukar pandangan dan berkongsi pengetahuan dalam bidang pendidikan.

Penganjuran lawatan akademik berkenaan bukan sahaja memperluas pengetahuan dan pengalaman para peserta, malah turut membuka ruang kepada pertukaran budaya, perkongsian ilmu serta pembinaan jaringan persahabatan merentas sempadan.

Pengalaman tersebut diharap dapat menjadi kenangan bermakna kepada para penuntut, sekali gus menyemai semangat saling memahami, menghargai kepelbagaian budaya dan memperkukuh hubungan baik antara masyarakat NBD dan Malaysia.

Program Bright 2026 terus membawa aspirasi meneroka ilmu, berkongsi pengalaman dan membina persahabatan melalui penglibatan aktif generasi muda serta komuniti setempat.