Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 November. – Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah (IPPSSHHB) hari ini mengadakan sesi pembentangan Kertas Teratas Policy Analysis Exercise (PAE) bagi Program Perkembangan Eksekutif (EDP) Siri Ke-20/2025 bagi Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan dalam Bidang Dasar Awam dan Pengurusan, anjuran Kementerian Pertahanan.
Sesi tersebut berlangsung di Dewan Kuliah IPPSSHHB, Bolkiah Garrison.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Turut berangkat dan hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Yang Amat Mulia Pengiran Anak Dato Seri Pahlawan Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris; Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, wakil-wakil Setiausaha Tetap dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera dan Pemerintah Angkatan Bersama, serta Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan.
Sesi dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pengarah IPPSSHHB, Dayangku Dr. Noor Hasharina binti Pengiran Haji Hassan, yang antara lain menekankan kepentingan PAE dalam memperkukuh keupayaan pegawai-pegawai kanan untuk menganalisis isu dasar secara kritikal dan berasaskan bukti, seterusnya menghasilkan cadangan dasar yang praktikal serta sejajar dengan keutamaan dan aspirasi Negara Brunei Darussalam (NBD).
Sesi diteruskan dengan pembentangan tiga daripada lima kertas dasar terbaik yang dihasilkan oleh para peserta EDP Siri Ke-20/2025.
Pembentangan pertama disampaikan oleh Leftenan Kolonel (U) Pengiran Mohamad Ady Hafriz bin Pengiran Mohammad Yusof dari ABDB menerusi kertas bertajuk ‘Coordinating Space-Based Services in Brunei Darussalam : Towards a National Governance & Data Sharing Framework’.
Ia diikuti pembentangan oleh Leftenan Kolonel Azaman bin Haji Hussin, juga dari ABDB, bertajuk ‘Residential Electricity Consumption in Brunei Darussalam : Behavioural Insights & Policy Interventions for Sustainable Energy Use’.
Manakala pembentangan ketiga disampaikan oleh Penguasa Polis Gina See Yok Gan dari PPDB menerusi kertas dasar bertajuk ‘From Backlog to Breakthrough : Building Cybercrime Investigative Capabilities in the Royal Brunei Police Force’.
Pada sesi tersebut, IPPSSHHB turut mengedarkan penerbitan buku terbaharunya yang menghimpunkan lima kertas PAE terbaik daripada kohort EDP Siri Ke-20/2025. Penerbitan berkenaan merupakan kompilasi ketiga yang dihasilkan oleh institut tersebut.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada para pembentang oleh Pemerintah ABDB.
Pembentangan berkenaan mengetengahkan kepentingan memperkukuh keupayaan analisis dasar dalam sektor awam bagi menyokong pencapaian Wawasan Brunei 2035.
Melalui pembentangan kertas dasar yang merangkumi bidang tadbir urus digital, penggunaan tenaga secara mampan dan penyiasatan jenayah siber, para peserta memperlihatkan peranan program berkenaan dalam menyokong penyelarasan di peringkat Whole-of-Government, keputusan berasaskan bukti serta penggubalan dasar yang praktikal untuk keutamaan negara.
Sejak diperkenalkan pada 2004, EDP telah menyumbang kepada pembangunan kepimpinan strategik dan pengukuhan keupayaan sektor awam, dengan seramai 533 pegawai kanan daripada pelbagai sektor kerajaan dan perkhidmatan keselamatan telah menamatkan dalam program tersebut.
Penganjuran pada tahun ini juga merupakan kali kelapan sesi pembentangan Kertas Teratas PAE diadakan sejak mula dilaksanakan pada 2019.