BDSG 2026 : Mencungkil bakat pelajar melalui aktiviti sukan

19 Nov 2026 - 6:47am

Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami

MENTIRI, Rabu, 18 November. – Kementerian Pendidikan pada hari ini mengadakan Majlis Penyampaian Pingat Pertandingan Olahraga (Kids Athletics) sempena Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (BDSG 2026) Kali Ke-3, bertempat di padang Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja (SMPDSM), di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan Majlis Penyampaian Pingat kepada para pemenang, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Lilly Suzana binti Haji Shamsu.

Acara Olahraga (Kids Athletics) telah mempertandingkan sebanyak empat pingat emas yang merangkumi Kategori Lelaki dan Kategori Perempuan bagi pelajar berkeperluan khas serta Kategori Lelaki dan Kategori Perempuan bagi pelajar aliran perdana.

Bagi Kategori Lelaki Berkeperluan Khas, pingat emas telah diraih oleh Kluster 3C, manakala pingat perak dimenangi oleh Kluster 6C, sementara pingat gangsa diperoleh oleh Kluster 2C.

Sementara itu bagi Kategori Perempuan Berkeperluan Khas pula, pingat emas dirangkul oleh Kluster 6C, diikuti dengan Kluster 3C sebagai penerima pingat perak, manakala pingat gangsa pula dimenangi oleh Kluster 4C.

Bagi Kategori Lelaki Aliran Perdana, pingat emas diraih oleh Kluster 2A, manakala pingat perak dimenangi oleh Kluster 3A, sementara pingat gangsa diperoleh oleh Kluster 6A.

Pemenang-pemenang bagi Kategori Perempuan Aliran Perdana pula, pingat emas telah dimenangi oleh Kluster 5A, diikuti dengan Kluster 6B sebagai pemenang pingat perak, manakala Kluster 5B pula memperoleh pingat gangsa.

BDSG Kali Ke-3 pada kali ini mempertandingkan sebanyak lima acara sukan, iaitu bola jaring, ‘bocce’, badminton, futsal dan olahraga (Kids Athletics). Kejohanan berkenaan berlangsung selama lapan hari, bermula 16 hingga 23 November 2026, dengan penyertaan seramai 690 atlet pelajar sekolah rendah dari enam kluster sekolah kerajaan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan.

Penganjuran BDSG merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum dalam usaha mencungkil dan mengembangkan bakat serta potensi pelajar dalam bidang sukan, di samping memperkukuh pembangunan sukan di peringkat sekolah.

Pada edisi kali ini, BDSG dikhususkan kepada penyertaan pelajar sekolah rendah, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Khas selaku penganjur bersama bagi memperluas peluang penyertaan kepada pelajar berkeperluan khas dalam kejohanan tersebut.