Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 November. - Sebanyak 78 projek hasil kreativiti dan inovasi pelajar Program Diploma Tahap 5 dalam Seni Bina, Politeknik Brunei (PB) dipamerkan sempena Majlis Pembukaan Rasmi Pameran Seni Bina Politeknik Brunei Kali Ke-4 yang berlangsung di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad.
Pameran yang bertemakan ‘Built Resilience : Designing for Active Living’ atau 'Membina Ketahanan : Reka Bentuk ke Arah Kehidupan Aktif' itu menghimpunkan hasil karya 78 pelajar seni bina daripada Tahun 1 hingga Tahun Akhir, Sekolah Sains dan Kejuruteraan, PB, Kampus Lumut.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 28 projek merupakan reka bentuk kediaman, 23 projek komersial dan 27 Projek Tahun Akhir yang memperlihatkan keupayaan para pelajar dalam menghasilkan cadangan seni bina yang kreatif dan praktikal serta bersesuaian dengan keperluan semasa.
Pemangku Pengarah PB, Dayang Hajah Armah binti Tengah dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa pameran berkenaan merupakan platform penting bagi mengetengahkan kreativiti, kemahiran dan pencapaian para pelajar, di samping memperlihatkan proses penyelidikan serta penerokaan idea yang menjadi asas kepada setiap reka bentuk.
Menurutnya, tema pameran tahun ini memberikan penekanan terhadap peranan seni bina dalam membentuk persekitaran yang berdaya tahan, sekali gus menyokong gaya hidup masyarakat yang aktif, sihat dan sejahtera.
Pameran berkenaan turut memperlihatkan hasil reka bentuk melalui pelbagai medium, termasuk lukisan seni bina, visualisasi tiga dimensi (3D), model fizikal serta cadangan pembangunan kediaman, komersial dan bercampur.
Menariknya, penganjuran tahun ini turut memperkukuh kerjasama antara PB dengan rakan industri, khususnya Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dan Design Marche, bagi memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai keperluan serta cabaran sebenar industri seni bina.
Melalui kerjasama bersama BEDB, para pelajar yang terlibat dalam Projek Tahun Akhir dan projek komersial berpeluang menghasilkan cadangan reka bentuk berdasarkan keperluan tapak serta objektif pembangunan di beberapa lokasi terpilih di negara ini.
Cadangan pembangunan berkenaan merangkumi kemudahan sukan dan rekreasi, pusat kesejahteraan serta pembangunan bercampur yang turut mengambil kira keperluan komuniti dan usaha menggalakkan gaya hidup aktif.
Sementara itu, kerjasama bersama Design Marche memberikan peluang kepada para pelajar meneroka reka bentuk kediaman kontemporari dengan mengambil kira keperluan perumahan moden, perubahan gaya hidup serta keselesaan pengguna.
Jalinan kerjasama berkenaan bukan sahaja membolehkan para pelajar mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di bilik kuliah, malah turut meningkatkan kefahaman mereka terhadap tuntutan serta amalan sebenar dalam industri. Usaha tersebut juga selaras dengan matlamat PB untuk melahirkan graduan yang kompeten, kreatif dan bersedia menghadapi alam pekerjaan.
Selain menjadi wadah meraikan pencapaian akademik dan kreativiti pelajar, pameran berkenaan turut berperanan memperkenalkan Program Diploma dalam Seni Bina PB kepada masyarakat, khususnya bakal pelajar, di samping memberikan gambaran mengenai peluang pengajian dan prospek kerjaya dalam bidang seni bina.
Majlis pembukaan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti ucapan alu-aluan, tayangan video pembukaan pameran serta penyampaian cenderahati kepada para mentor dan penilai industri. Tetamu kehormat seterusnya berkesempatan menyaksikan sendiri hasil karya para pelajar melalui lawatan ke ruang pameran.
Pameran Seni Bina Politeknik Brunei Kali Ke-4 akan dibukakan kepada orang ramai pada 19 November 2026 dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang bertempat di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan.
Orang ramai, khususnya bakal pelajar dan mereka yang berminat dalam bidang seni bina, adalah dialu-alukan untuk mengunjungi pameran berkenaan bagi melihat sendiri idea, kreativiti dan inovasi generasi muda dalam mereka bentuk persekitaran binaan yang lebih lestari, berdaya tahan dan menyokong kehidupan aktif.