Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
KUALA BELAIT, Isnin, 13 Julai. - Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI meneruskan lagi Jerayawara Kenali ASEAN dengan berkunjung ke Chung Hua Middle School, di sini.
Jerayawara diadakan di Dewan Auditorium sekolah berkenaan adalah untuk membarigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di negara ini.
Turut hadir pada taklimat tersebut ialah Timbalan Pengetua Pentadbiran, Dayang Kong Yun, dan para tenaga pengajar sekolah berkenaan.
Seramai 76 orang pelajar Tahun 7 menghadiri Taklimat Kenali ASEAN tersebut yang telah disampaikan oleh Ketua Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan, Awang Eddy Iswandy bin Haji Ismail.
Dalam taklimatnya antara lain untuk menanamkan kesedaran dalam kalangan para pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN: Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti (One Vision, One Identity, One Community).
Sejurus selesai taklimat, para pelajar juga berkesempatan untuk mengikuti sesi Kuiz Kenali ASEAN dan seterusnya penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Pengetua Pentadbiran sekolah tersebut.
Dalam hasrat untuk membarigakan mengenai ASEAN, ia juga usaha berterusan untuk menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) di kalangan pelajar-pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan, pada masa yang sama juga dapat mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.