Tadbir urus bersepadu mendukung keputusan strategik

5 Og 2026 - 8:58am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Nurhafilah Pg. Osman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Pendekatan Whole of Government merupakan antara pendekatan utama Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memastikan setiap dasar, strategi dan pelaksanaan pembangunan negara bergerak secara bersepadu, berpandukan keutamaan negara demi kesejahteraan rakyat dan penduduk selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035. 

Pendekatan ini telah memperkukuh keberkesanan kerjasama antara kementerian melalui penyejajaran dasar dan keutamaan negara, pelaksanaan inisiatif rentas kementerian serta penelitian bersama terhadap isu-isu strategik negara. 

Di samping memperkukuh perkongsian maklumat dan data, serta mengoptimumkan penggunaan sumber kerajaan, pendekatan ini turut mendukung proses membuat keputusan yang lebih berasaskan bukti (‘evidence-based’) ke arah tindakan kerajaan yang lebih responsif, bersepadu dan berkesan dalam menangani isu-isu yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi. 

Perkara ini disampaikan oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof bagi menjawab pertanyaan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub, Penghulu Mukim Ukong, pada hari pertama Mesyuarat Kedua Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2026 di Dewan Majlis, Bangunan Majlis Mesyuarat Negara, di sini.

Menjawab tentang sejauh manakah pendekatan Whole of Government telah berjaya meningkatkan keberkesanan penyelarasan antara kementerian dalam mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035, termasuk cabaran utama serta langkah-langkah berterusan oleh kerajaan bagi memperkukuh pelaksanaannya. 

Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II menjelaskan lagi bagi mendukung pendekatan tersebut, kerajaan telah mewujudkan mekanisme tadbir urus dan penyelarasan yang memperkukuhkan kerjasama serta penyelarasan rentas kementerian dalam meneliti, mempertimbangkan dan membuat keputusan berhubung isu-isu strategik secara kolektif di pelbagai peringkat. 

Ini termasuk melalui, a) Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035, serta b) Penyelarasan di peringkat Menteri-Menteri seperti: i) Jawatankuasa-Jawatankuasa Kerja Wawasan Brunei 2035 bagi Manpower, Social dan Economic Blueprints; ii) Mesyuarat Penyelaras Keselamatan Negara serta Komiti Kebangsaan Menangani Kesan Konflik Timur Tengah dan Perkembangan Semasa; iii) Majlis Kebangsaan Isu Sosial bagi menangani isu-isu sosial; dan iv) Jawatankuasa Pandu Keselamatan dan Kecekapan Tenaga dan Jawatankuasa Pandu Pembangunan Sektor Huluan bagi sektor tenaga. 

Ini juga termasuk penyelarasan di peringkat Setiausaha-Setiausaha Tetap seperti: i) Mesyuarat Setiausaha-Setiausaha Tetap, dan ii) Jawatankuasa Kebangsaan Anti-Pemerdagangan Orang (JKAPO), yang memastikan usaha pembanterasan jenayah Trafficking in Persons (TIP) dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu merentasi agensi. 

Pendekatan ini telah menyumbang kepada pengiktirafan antarabangsa apabila Negara Brunei Darussalam dinaik taraf daripada Tier 3 kepada Tier 2 Watch List dalam United States Trafficking in Persons Report 2025. 

InsyaaAllah, melalui usaha berterusan semua pihak, kedudukan Negara Brunei Darussalam dalam laporan tahun 2026 akan dapat terus dipertingkatkan, jelas Yang Berhormat.